Malaysia Dateline

Tsunami sokongan luar biasa PN bukan kerana Melayu pilih PN, tetapi kerana Melayu tolak Umno

Pas dan Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak angkuh dan sombong dengan jumlah kerusi yang diraih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 baru-baru ini. 

Kata Naib Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, Pakatan Harapan (PH) ketika itu berkempen menolak Umno dan agak leka kerana kurang menyerang PN. 

Manakala PN pula ujar beliau, sebaliknya berkempen menyerang PH, menyerang calon Perdana Menteri dari PH dengan dakwaan palsu sekiranya undi PH bererti undi DAP. Seandainya PH menang, maka ianya adalah kerajaan DAP. 

“Umno pula ketika itu hilang arah, tiada fokus ketika berkempen PRU tersebut kecuali ketara kelihatan bagi menyelamatkan pimpinan tertinggi parti. Maka itu, tsunami kemenangan luar biasa PN bukanlah kerana Melayu memilih PN, sebaliknya adalah kerana Melayu menolak Umno. 

“Sudah menjadi lumrah setiap kali PRU, apabila Melayu menolak Umno, maka pilihan mereka adalah Pas, sebagai ‘mudarat lebih kecil’ jika dibandingkan Melayu bersama Dap. 

“Sejarah silam turut membuktikan bahawa Melayu menolak Umno kerana Melayu marah apabila Umno dibawah pimpinan Tun Mahathir ketika itu memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri,” Ujar beliau yang juga merupakan Pengarah Komunikasi dan Penerangan PH Pulau Pinang ketika dihubungi. 

Tambah Zaidi, Anwar sejak 1981 sehinggalah 1998 dari kedudukan sebagai Timbalan Menteri melonjak pantas kepada Timbalan Perdana Menteri di mana beliau mempunyai aura dan pengaruh yang sangat besar dalam Umno, bahkan kepada rakyat dan orang Melayu-Islam amnya. 

Sehubungan itu katanya, pemecatan Anwar telah mewujudkan signifikan kepada Melayu-Islam, naratif Dr Mahathir zalim (ketika itu) dengan gelaran mahazalim telah juga berjaya mempengaruhi orang Melayu. 

Impaknya jelas Dr Zaidi, Pas berjaya mendapat laba yang besar dari penolakan Melayu kepada Umno pada PRU 1999 dim ana Pas menang 22 kerusi. 

Selepas itu dalam PRU 2004, peralihan kuasa dari Dr Mahathir kepada ‘Mr Clean’ Pak Lah telah mewujudkan tsunami Melayu kembali kepada Umno. 

BN menang undi popular 63.9 peratus iaitu 198 kerusi. Umno menang 109 kerusi dan merampas kembali 32 kerusi yang tewas pada tahun 1999. Manakala PKR hanya menang 1 kerusi dengan majoriti 590 undi di Permatang Pauh. 

Selain itu, Pas yang menang 27 kerusi dalam PRU 1999, hilang 20 kerusi termasuk kerusi Presiden Pas di Marang. 

Menyedari Dr Mahathir adalah liabiliti kepada Umno-BN tatkala itu, beliau cuba untuk menyelamatkan Umno dengan melakukan peralihan kuasa kepada Pak Lah. 

Sejajar dengan itu juga, dalam PRU ke-14, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak turut menjadi liabiliti kepada Umno sehingga parti tersebut tewas. 

Menjelang PRU ke-15 pula, Presiden Umno sekali lagi menjadi liabiliti kepada Umno sehinggakan Umno ditolak oleh orang Melayu. 

Realitinya, kata Dr Zaidi, Pas-PN mendapat laba luar biasa hasil dari kempen PH menolak Umno.

Oleh kerana itu Pas-PN tidak harus berlagak angkuh dan sombong kerana ditakuti akan jatuh seperti nangka yang buruk dari pokok yang tinggi.