Malaysia Dateline

Tsunami: Tiada rakyat Malaysia dilapor terbabit

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang cedera atau terkesan secara langsung dalam insiden tsunami yang melanda Anyer, Banten, di Indonesia malam tadi.

Penolong Penasihat Pertahanan di kedutaan itu, Leftenan Kolonel Rosmal Abdul Malek berkata, setakat jam 10.15 pagi ini (9.15 waktu tempatan), tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia yang terlibat.

“Sehingga kini, tiada laporan yang diterima mengenai rakyat Malaysia yang terlibat dengan kejadian ini.
“Kedutaan akan terus memantau kejadian tersebut dengan rapi dan memberikan maklumat sewajarnya.

“Rakyat Malaysia yang terjejas dan memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Pegawai Bertugas di talian +62 813 80813036,” kata Rosmal.

Terdahulu, jumlah korban kejadian susulan bencana itu dilaporkan meningkat kepada 43 orang sementara 584 lagi cedera, menurut Ketua Pusat Data & Informasi Badan Bencana Nasional Indonesia (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho.

Kejadian tersebut berlaku akibat gelombang tinggi yang dilaporkan melanda pantai barat wilayah Banten sekitar jam 9.27 malam (waktu tempatan) pada Sabtu.