Malaysia Dateline

TTDI RA melampau, berhenti putarbelit isu pembangunan rumah panjang

Persatuan Penduduk dan Badan Pengurusan Taman Tun Dr Ismail (TTDI RA) perlu berhenti memutarbelitkan isu pembangunan rumah panjang yang dilihat seperti terdesak untuk menagih perhatian orang ramai demi menyokong tuntutan mereka yang tidak masuk akal.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Zulkifli Sulong, hari ini meluahkan kekecewaannya di atas cubaan pihak TTDI RA yang sehingga kini sengaja memanaskan isu pembangunan tersebut walhal banyak perkara sudah di jelaskan dan di ambil kira oleh pihak Kementerian.

Katanya, biarpun projek pembangunan rumah panjang telah dikecilkan skalanya mengikut bantahan asal penduduk supaya kawasan parking dan landskap flora dikekalkan, namun TTDI RA sengaja membangkitkan isu yang lain.

Zulkifli Sulong

“isu permulaan telah pun ditangani setelah projek pembangunan rumah panjang telah dikurangkan skalanya sehingga tiada satu pun taman yang diceroboh.

“Hakikatnya, dengan pengurangan skala ini, akan ada lebih banyak kawasan hijau dan landskap yang lebih luas dari apa yang ada hari ini. Dan taman itu masih belum disentuh dan akan dikekalkan dengan lebih baik, dari kalangan pemaju.

“Tetapi mereka dilihat sengaja menimbulkan isu ‘gajah di dalam bilik’ yang merujuk kepada konflik kepentingan antara Ku Nan ( Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor) sebagai pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan pada masa yang sama menjadi Menteri Wilayah Persekutuan pada waktu itu. Rakan perniagaan Ku Nan juga merupakan ahli lembaga Memang Perkasa S/B, pemaju yang bekerjasama dengan YWP untuk membangunkan tanah itu.

“Kedua-dua perkara ini dilihat sebagai alasan mereka untuk mengisytiharkan projek itu haram dan tidak sah dan menggelar sebagai ‘gajah di dalam bilik’,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, gajah-gajah yang sebenarnya di dalam bilik itu adalah Perintah Pembangunan (DO) yang dikeluarkan pada tahun 2017 dan dengan jelas, Mahkamah Tinggi telah menilai DO sebagai undang-undang yang sah pada akhir 2018.

“Ini lah sebenarnya gajah di dalam bilik yang selama ini tidak dihiraukan oleh penduduk TTDI RA,” ujarnya.

Tegasnya, Menteri Wilayah Persekutuan juga beberapa kali menjelaskan pendiriannya bahawa akibat dari pembatalan DO tersebut, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terpaksa menanggung kos sehingga RM150 juta sebagai pampasan kepada pihak pemaju.

Ini kerana katanya, menteri itu tidak mahu menggunakan sejumlah wang yang besar untuk membayar pampasan kepada pemaju kerana masih banyak kegunaan lain yang boleh dimanfaatkan dengan jumlah sedemikian.

“Ini lah yang selalu menjadi pendiriannya. Malangnya, penduduk disana lebih memilih untuk mensensasikan keengganan Menteri membatalkan projek tersebut dengan menuduh YWP bimbang akan kerugian RM160 juta akibat dari pembatalan projek tersebut.

“Selain RM160 juta yang disebutkan, saya juga memilih untuk berdiam diri apabila mereka menyebut bahawa hanya RM25 juta sahaja diperlukan untuk membina rumah untuk penduduk rumah panjang.

“Untuk makluman, YWP telah membayar lebih RM60 juta untuk tanah seluas 12 ekar. Tapi sekarang, 4 ekar akan dikembalikan secara percuma, dan RM60 juta itu adalah untuk 8 ekar tanah. Harga per ekar kini RM 7.5 juta dan 4 ekar akan menelan belanja sebanyak RM30 juta. Jadi, adakah anda akan membina rumah dengan harga RM25 juta?

“YWP sendiri terpaksa membayar caj Pembangunan untuk DO yang akan dikeluarkan. Dengan itu, kos untuk membina rumah untuk penduduk rumah panjang akan menelan belanja lebih dari RM25 juta,”katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai bahawa perkara ini merupakan masalah yang diwarisi dan bukannya satu perlakuan atau perbuatan seorang Menteri.

Jelasnya, jika benar mereka berminat untuk menyelesaikan masalah, memutarbelitkan fakta dan mendedahkan kebenaran yang tidak menyeluruh seharusnya dielakkan.