“Tu ‘filter’ dekat TikTok” – Enot sangkal dakwaan bedah muka, turun berat antara asbab nampak lain

Oleh MAISARAH AISYA

Bila menggunakan media sosial pastinya sedar bentuk wajah akan berubah disebabkan ‘filter’ yang ada dan bukanlah disebabkan pembedahan kosmetik.

Buat pelakon Enot, dia melihat perubahan bentuk mukanya adalah disebabkan penurunan berat badan yang mendadak.

Jelasnya hanya sekali dia menjalani pembedahan dan itu adalah ketika proses melahirkan anaknya lapor Kosmo! Online.

Menyangkal dakwaan melakukan pembedahan wajah, pelakon dan pelawak Enot memberitahu perubahan bentuk mukanya berpunca daripada penurunan berat badan.

Enot atau nama lengkapnya Aliza Abdullah, 45, berkata, dia tidak pernah menjalani sebarang proses pembedahan kosmetik untuk menjadi cantik.

“Muka saya kelihatan berubah kerana saya sudah menurunkan berat badan sedikit. Jadi sebab itu muka saya kelihatan sedikit berbeza.

“Jangan cakap saya buat pembedahan kerana saya tidak pernah meletakkan pisau (pembedahan) dekat muka.

“Dekat perut saja saya letak (buat pembedahan) iaitu masa melahirkan anak,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Muka berubah sebab filter

Enot atau nama lengkapnya Aliza Abdullah berkongsi di media sosial mengenai wajahnya yang dikatakan berbeza.

“Adakah anda baru ke dalam TikTok. Untuk makluman, TikTok menyediakan filter percuma yang boleh digunakan.

“Saya sudah turunkan berat badan jadi sebab itu muka saya nampak lain,” katanya lagi.

Nak berlakon semula

Pada masa sama, Enot memaklumkan usaha untuk menurunkan berat badan adalah kerana dia mahu kembali ke bidang lakonan.

“Saya sekarang ini lebih positif dan memerlukan perubahan. Saya tidak mahu duduk di takuk lama saja. Bukan kerana saya sudah tua, gemuk seperti dahulu jadi saya hanya perlu duduk saja di situ.

“Sebagai manusia kita mesti hendak melalui proses perubahan untuk diri sendiri, bukan untuk sesiapa.

“Saya sendiri tidak berubah kerana orang lain. Saya berubah kerana saya tidak mahu jatuh sakit, tidak mahu pinggang saya kena buat pembedahan atau apa-apa.

“Saya cantik bukan untuk pergi mengurat orang atau buat benda bukan-buakan, tetapi saya kena cantik sebab saya ingin buat kemunculan semula,” jelasnya.

Baca juga: Tak sangka lagu Kesetiaan pada asalnya bukan milik arwah Siti Sarah, ini pendedahan mengejutkan Ajai