Malaysia Dateline

Tuai rumah dikompaun gara-gara terima tetamu Hari Gawai

Gara-gara menerima kehadiran tetamu semasa sambutan Hari Gawai lalu, seorang tuai rumah panjang di Sungai Sentubu, Sarikei telah dikompaun sebanyak RM4,000.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kompaun tersebut adalah dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei atas kesalahan melakukan aktiviti menyukarkan penjarakan fizikal ketika menerima kehadiran tetamu.

“Semalam, Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM4,000 kepada tuai rumah panjang di Sungai Sentubu, Sarikei atas kesalahan menyambut perayaan Hari Gawai dengan kehadiran tetamu dan menyukarkan penjarakan fizikal.

“Malah, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut mengeluarkan sebanyak 67 kompaun yang mana 53 kompaun untuk individu manakaka 14 kompaun lagi kepada perbadanan atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP di bawah Akta 342,” jelas JPBN.

Justeru, JPBN menegaskan sepanjang tempoh 27 Jun sehingga 3 Julai lalu keseluruhan kompaun ialah sebanyak 303.

Kata JPBN lagi, antara kesalahan berkenaan termasuk mengelak menjalani perintah kuarantin di bawah Seksyen 14, aktiviti hiburan, tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan, aktiviti yang menyukarkan penjarakan fizikal, gagal memakai pelitup muka dan gagal mendaftar masuk premis.

“Kesalahan lain ialah pemilik premis gagal melaksanakan penjarakan fizikal, pemilik premis gagal menyediakan Kod QR MySejahtera dan buku pendaftaran masuk premis, majikan gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja dan lain-lain kesalahan SOP yang tidak tersenarai (perbadanan),” ujar JPBN.

Untuk rekod, Sarawak menduduki tempat kelima negeri tertinggi wabak Covid-19 dengan jumlah keseluruhan 67,271 kes, 421 kes kematian dan 56,745 kes sembuh setakat semalam.

Terdapat 286 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam dengan 9,950 kes aktif manakala 77 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).