Tuan Ibrahim ajukan lima soalan buat Najib

Tuan Ibrahim ajukan lima soalan buat Najib

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengajukan lima soalan kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Mohd Najib Razak berkaitan dengan pendedahan terkini media antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang hilang.

Tuan Ibrahim mengatakan media itu mendedahkan bahawa para penyiasat mempercayai sekurang-kurangnya USD50 juta duit 1MDB telah digunakan oleh anak tiri kepada Perdana Menteri, Riza Aziz untuk pembelian hartanah di New York dan Los Angeles.

Soalan pertama: Bilakah Menteri Kewangan dan keluarganya akan menyaman WSJ?

Dalam kemelut IPIC-1MDB, 1MDB telah ingkar membayar faedah sebanyak tiga kali dan IPIC telah membayarnya. Hasilnya, IPIC kini menuntut hutang sebanyak USD1.2 bilion bersama faedah daripada 1MDB dan kerajaan Malaysia sebagai ganti-rugi.

Soalan kedua: Sekiranya kemelut IPIC-1MDB ini tidak dapat diselesaikan, apakah kerajaan Malaysia boleh mengetepikan tuntutan IPIC kerana Kementerian Kewangan yang diterajui Menteri Kewangan telah bersetuju menjamin ganti rugi kepada IPIC berdasarkan perjanjian 1MDB dan IPIC pada Mei tahun lalu?

Semalam, Gabenor Bank Negara yang baru Muhammad Ibrahim pula memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia mampu menyelesaikan hutang yang ditanggung oleh 1MDB.

Soalan ketiga: Dari manakah sumber dana akan datang untuk membayar hutang yang dicipta 1MDB?

Datuk Seri Najib Razak di temu bual eksklusif di saluran TV1 RTM mengakui 1MDB pincang.

Soalan keempat: Apakah Datuk Seri Najib sedia mengambil tanggungjawab penuh dan mengakui lalai dalam menjalankan tugas dalam kegagalan 1MDB yang memalukan rakyat dan negara dengan meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan?

Soalan kelima: Apakah selepas ini saudara Arul Kanda pula akan menjadi mangsa yang dipersalahkan kerana gagal menyelesaikan kemelut 1MDB-IPIC?

TAGS