Malaysia Dateline

Tuan Ibrahim akui kerajaan tiada teknologi kesan bau

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketiadaan teknologi mengesan pencemaran bau terhadap air sungai menyukarkan pihak bertanggungjawab untuk memberi amaran awal gangguan bekalan kepada pengguna di Lembah Klang.

Menurutnya, keadaan itu juga mengakibatkan proses pemulihan mengambil tempoh lebih panjang.

Jelas pemimpin Pas itu, kerajaan mendapati isu pencemaran bau di Selangor kerap berulang di lokasi loji yang hampir sama.

“Akibat kekurangan teknologi serta faktor masa, mengakibatkan kerajaan tidak boleh memberi notis awal kepada rakyat untuk menyimpan bekalan air, sebelum melakukan proses pemulihan sumber air yang tercemar,” lapor Mingguan Malaysia hari ini.

Dalam masa sama, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tindakan sabotaj sebagai faktor pencemaran air di Selangor seakan tidak pernah selesai.

Ujarnya, serbuan di beberapa lokasi di Rawang, baru-baru ini mendapati, terdapat kilang yang sengaja membina lubang khas untuk melupuskan sisa pencemaran, yang salirannya bersambung ke loji rawatan air (LRA).

Selangor kerap menghadapi gangguan bekalan air dengan menjejaskan lebih satu juta akaun merangkumi lebih 1,000 kawasan termasuk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bulan lalu contohnya, LRA Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas ekoran terdapat pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor.