Tuan Ibrahim anggap ribut di Kompleks Pas Kedah ujian Allah

Tuan Ibrahim anggap ribut di Kompleks Pas Kedah ujian Allah

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta semua pihak agar tidak membuat spekulasi kononnya kejadian ribut di Kompleks Pas Kedah, tempat berlangsungnya Muktamar PAS ke-63 sebagai bala Allah Subhanahuwataala (SWT).

Sebaliknya, kata beliau kejadian itu hanyalah satu ujian daripada Allah SWT dan berada di luar kawalan manusia.

“Kita harap perkara ini tidaklah dispekulasikan oleh orang ramai, kita doakan kesihatan mangsa-mangsa yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa ribut itu di Hospital Sultanah Bahiyah hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan sesetengah pihak di laman sosial termasuk penyokong beberapa parti pembangkang yang menyifatkan insiden berkenaan sebagai bala Allah.

Tuan Ibrahim bersama-sama Timbalan Mursyidul Am Pas Datuk Ahmad Yakob dan Pesuruhjaya Pas Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang tiba di hospital itu kira-kira 1 tengah hari, meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat seorang mangsa di Wad 6C, Zainaton Man, 45, yang patah buku lali kanan dalam kejadian ribut itu.

Dalam kejadian kira-kira 7.25 malam semalam, 19 orang dilapor cedera termasuk seorang tidak sedarkan diri apabila sebuah khemah menempatkan pameran dan jualan Kelab Keusahawanan Haraki (KU_Haraki) di Kompleks Pas Kedah ranap dipukul ribut.

Tuan Ibrahim berkata hanya seorang daripada 13 mangsa yang dirujuk ke HSB semalam masih dirawat di hospital berkenaan, manakala yang lain sudah dibenarkan pulang.

Katanya keadaan keseluruhan kawasan kompleks Pas Kedah terkawal dan Muktamar Pas ke-63, yang akan berakhir esok, berjalan seperti dijadualkan.

Pihak urusetia muktamar sedang melakukan kerja-kerja pembersihan. Anggaran kerugian belum diketahui.

“Kita jangkakan selewat-lewatnya petang ini atau pagi esok gerai-gerai jualan boleh dibuka seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Zainaton berkata ketika kejadian beliau bersama suami, Zaharid Ahmad, 48, dan empat anak mereka sedang berada di sebuah gerai di bawah khemah utama itu, sebelum ribut tiba-tiba melanda dan meranapkan khemah tersebut.

“Suami saya sempat membawa empat anak masuk ke dewan utama manakala saya tidak sempat menyelamatkan diri dan dihempap khemah tersebut,” katanya.