Tuan Ibrahim diminta jangan sibuk campuri urusan Pakatan Harapan

Amanah menasihati Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar tidak mencampuri urusan Pakatan Harapan sekaligus menjadi 'batu api' untuk mengeruhkan hubungan Amanah dan PKR.

Tuan Ibrahim diminta jangan sibuk campuri urusan Pakatan Harapan

Amanah menasihati Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar tidak mencampuri urusan Pakatan Harapan sekaligus menjadi ‘batu api’ untuk mengeruhkan hubungan Amanah dan PKR.

Malah Tuan Ibrahim perlu menyedari bahawa Pas tidak berperanan untuk membina dan mengembangkan Pakatan Harapan walaupun dijemput untuk bersama pada masa penubuhannya sebaliknya membentuk blok ketiga dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

“PH telah melalui berbagai ujian dalam masa tak sampai setahun namun tetap komited pada menggabungkan kekuatan pembangkang untuk berhadapan dengan Umno/BN setelah Pas bertindak memutuskan hubungan dengan PKR dan DAP,” kata Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusuf.

Mujahid mengulas kenyataan Tuan Ibrahim dalam wawancara dengan akhbar berbahasa Mandarin, Sin Chew Daily bahawa Pas akan mengadakan ‘kerjasama bersyarat’ dengan PKR bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang.

Menurut Mujahid, Pakatan Harapan khususnya Amanah tidak akan menerima usaha pihak tertentu termasuk Pas untuk memecahbelahkan hubungan antara parti dalam Pakatan Harapan.

“Kenyataan Timbalan Presiden Pas yang cuba campurtangan urusan dalaman Pakatan Harapan dengan memberi ‘amaran’ dan ‘ugutan’ ke atas Amanah amat dikesali kerana beliau tidak ada asas dan hak untuk berbuat demikian,” katanya yang juga Pengerusi Amanah Pulau Pinang.

Beliau turut menasihati Tuan Ibrahim agar menumpukan perhatian untuk mengenali ‘musuh sebenar’ dan jangan berlagak ‘batu api’ dalam urusan Amanah dan parti-parti rakan Pakatan Harapan.

“Jika Pas sudah mengenali musuh politik sebenar tentunya Pas akan bersama Pakatan Harapan dan tidak membuang masa memecahbelahkan Pakatan Harapan dengan ‘menyerang’ Amanah,” tegasnya.

Tuan Ibrahim dalam wawancara dengan Sinchew Daily menyatakan kesediaan Pas untuk bertanding di sekurang-kurangnya enam kerusi Dun jika PRN Pulau Pinang diadakan.

Selain bertanding di enam kerusi asal, Pas juga mahu dua hingga tiga kerusi yang ‘dipinjamkan’ kepada PKR.

“Mereka (PKR) bekerjasama dengan PAN (Amanah). Jika PAN bertanding di kerusi Pas, maka kami akan bertanding di kerusi PKR dan DAP,” kenyataan Tuan Ibrahim dipetik.

Tuan Ibrahim menambah, Pas bagaimanapun tidak akan ‘mengacau’ dengan mewujudkan pertandingan pelbagai penjuru jika Amanah tidak ‘mengacau’ terlebih dahulu.

“Memandangkan PAN ialah anggota Pakatan Harapan, maka kami akan melihat PKR mewakili kesemua tiga parti pakatan dalam rundingan yang dijalankan kelak.

“Tetapi mereka tidak boleh benarkan PAN bertanding. Jika tidak, ia melanggar syarat kami,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau bagaimanapun mengakui PKR dan Pas belum mengadakan rundingan berhubung pengagihan kerusi di Pulau Pinang.