Malaysia Dateline

Tuan Ibrahim diminta perjelas mengapa Malaysia tersisih daripada sidang Iklim AS

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menjelaskan mengapa Malaysia disisihkan dari sidang kemuncak Iklim sedangkan negara Vietnam telah diundang.

Beliau berkata, pengecualian Malaysia daripada Sidang Kemuncak Tindakan Iklim yang dianjurkan Amerika Syarikat (AS) telah mengesahkan bahawa negara ini dilihat lebih sebagai tempat pembuangan sampah plastik daripada rakan strategik isu alam sekitar.

“Tuan Ibrahim harus sedar diri dengan menetapkan wawasannya dalam bagaimana untuk mengintegrasikan langkah-langkah perubahan iklim ke dalam bidang tugas agensi-agensi kerajaan.

“Malangnya, sebagai salah seorang pemimpin parti yang berwarna hijau, Tuan Ibrahim telah merugikan negara dengan prestasi buruk dalam memupuk dasar hijau sehingga Malaysia dilihat sebagai jauh lebih rendah daripada negara Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dilaporkan telah mengundang 40 pemimpin dunia untuk menghadiri Sidang Puncak Pemimpin Iklim, yang akan diadakan pada 22 dan 23 April nantu.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong antara yang diundang ke rundingan iklim besar-besaran pertama di bawah pentadbiran Biden.

Bagaimanapun, antara 40 buah negara yang diundang, Malaysia tidak tersenarai.

Pada masa sama, Guan Eng berkata, penyisihan Malaysia daripada sidang kemuncak tindakan iklim telah menjadi bahan jenaka dengan kemerosotan kedudukan Malaysia sebelum ini sebagai peneraju dalam mempromosi isu perubahan iklim.

Beliau turut menempelak Tuan Ibrahim selepas mendakwa dua buah kontena yang tiba di Pelabuhan Klang dari Amerika Syarikat mengandungi barang dagangan sisa plastik jenis polietilena yang bersih.

“Sekiranya Tuan Ibrahim begitu yakin tentang bagaimana sampah plastik boleh dikatakan “bersih”, maka dia harus membenarkan kilang sampah plastik “bersih” dibina di sebelah rumahnya di Kelantan atau Pahang,” katanya lagi.