Tuan Ibrahim minta Khalid Samad tutup mulut, bubar Amanah

Tuan Ibrahim minta Khalid Samad tutup mulut, bubar Amanah

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada cadangan Khalid agar beliau dan naib presiden Pas Datuk Iskandar Abd Samad meninggalkan Pas.

“Blok pembangkang akan tenang kalau Khalid (Samad) boleh “tutup mulut” atau Parti Amanah Negara dibubarkan.

“Saya sebagaimana orang ramai melihat P.A.N (Amanah) akan berhadapan dengan masalah kerusi mana yang akan ditandingi pada pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid sebelum ini mengajak Tuan Ibrahim dan Iskandar meninggalkan Pas kerana mendakwa Pas bukan lagi seperti dahulu.

Beliau berkata cadangan Tuan Ibrahim agar pembangkang melakukan gencatan serangan sesama sendiri tidak diterima kerana Pas kini lebih mesra Umno BN dan memusuhi pembangkang khususnya DAP.

“Sekarang ini pemikiran Pas yang dibawa Abdul Hadi adalah satu pemikiran yang lebih mesra Umno BN dan tidak mahu memberi apa-apa komitemna terhadap Pakatan harapan.

“Saya tidak hairan apabila cadangan yang dibawa oleh Tuan Ibrahim tidak mendapat sambutan dan dia mengatakan ia pendirian peribadi.

“Cadangan saya kepada Tuan Ibrahim dan rakan-rakan termasuklah Adun Pas di Selangor untuk mereka menerima hakikat bahawa Pas telah berubah dan adalah lebih baik jika mereka meningalkan pAS dan membiarkan Pas mati kerana ia parti yang tidak mahu bergabung dan bekerjasama dengan pembangkang,” katanya.

Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata, kemunculan Amanah mendedahkan persaingan tiga penjuru seperti yang berlaku dalam pilihan raya kecil parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Keadaan ini akan mendedahkan persaingan tiga penjuru sebagaimana dalam pilihan raya kecil yang lalu. Kecuali DAP atau PKR sedia menyerahkan beberapa kerusi mereka kepada rakan dalam Pakatan Harapan (PH) tersebut.

“Sebab itu elok serap sahaja dalam parti yang sedia ada. Negara sebenarnya tidak memerlukan terlalu banyak parti dalam blok pembangkang semata-mata kerana kecewa atau ingin menjadi pemimpin,” katanya.

Beliau juga mendakwa sikap “tidak boleh bekerja di bawah orang” merupakan antara sebab muncul pelbagai parti politik.

“Saya tegaskan saya tiada masalah bekerja bersama Presiden dan saf kepimpinan Pas yang ada.

“Kami sangat bahagia, seronok dengan kemanisan ukhuwah sangat dirasai. Sikap hormat-menghormati, berlapang dada dengan perbezaan serta thiqah kepada pimpinan menjadi nadi kekuatan PAS kini,” katanya lagi.

TAGS