Tuan Ibrahim nafi PAS akan bergabung dengan Umno

Tuan Ibrahim nafi PAS akan bergabung dengan Umno

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Timbalan presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan PAS akan bergabung dengan Umno bahkan sedang merangka strategi untuk menguasai kerajaan Terengganu dan menguasai 10 DUN Umno di Selangor bagi memerintah negeri itu juga.

“PAS tidak akan bergabung dengan Umno. Malah kini, PAS sedang merangka strategi mempertahankan kerajaan Kelantan, menguasai kerajaan Terengganu dan menguasai 10 DUN yang dimenangi Umno di Selangor dan menambah kerusi parlimen di tempat berlawan dengan Umno,” kata Tuan Ibrahim menafikan laporan sebuah portal bahawa beliau kini setuju PAS berkerjasama dengan Umno.

“Merujuk tajuk artikel The Malaysian Insider bertajuk: “Now PAS No. 2 shows support for Umno collaboration” – Saya kesal dengan tajuk artikel ini kerana ia jauh terpesong dengan isi kenyataan saya yang asal,” kata beliau dalam satu kenyataannya.

Bahkan Tuan Ibrahim meminta pembaca melihat semula kenyataannya pada 14 Disember lepas yang menyatakan dengan tegas sikap beliau terhadap perhubungan antara PAS dengan Umno.

Dalam tulisan 14 Disember itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS tidak mahu memikul pengkhianatan Umno kepada agama.

Katanya, lebih 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Allah secara menyeluruh, riba rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju.

PAS juga tidak akan merelai perpaduan bagi mendokong tindakan yang bertentangan dengan Islam seperti kesanggupan ‘menghalalkan’ pelbagai penipuan, penyelewengan, rasuah dan perkara bertentangan dengan syarak demi mempertahankan kuasa satu-satu pemimpin, katanya.

Realitinya, kata beliau, negara perlu diselamatkan dari kerosakan yang semakin parah dari segala sudut hasil daripada pemerintahan Umno-BN. Suara negara semakin kelam kerana isu yang melanda kepimpinan negara.

“Dan cara menyelamatkannya bukan dengan memberikan talian hayat dan sokongan kepada Umno untuk terus melakukan penyelewengan tanpa rasa bersalah. Umno mesti disedarkan dengan ancaman bahawa mereka akan ditolak rakyat jika meneruskan cara pemerintahan yang sedia ada,” katanya.

Namun kenyataan Tuan Ibrahim ketika mengulas pertemuan antara presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak di Multaqa Alumni Al Azhar Malaysia, agak lembut dan tidak ada lagi kata kutukan terhadap Umno.

Ini menyebabkan media beranggapan beliau sudah berubah dan menyokong kerjasama dengan Umno.

 

TAGS