Tuan Ibrahim nasihat ahli, pemimpin Pas jaga tulisan

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli, terutamanya pimpinan parti itu agar mengawasi setiap tulisan dalam apa jua media sosial.

Tuan Ibrahim nasihat ahli, pemimpin Pas jaga tulisan

 

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli, terutamanya pimpinan parti itu agar mengawasi setiap tulisan dalam apa jua media sosial.

Beliau berkata, tulisan mestilah selaras dengan pendekatan budaya politik matang dan sejahtera yang menjadi dasar parti Islam itu.

“Tulisan yang tidak menepati dasar ini sudah tentunya bukan pendirian parti dan hanyalah pandangan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang kini memangku tugas-tugas Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berkata, Pas meraikan hubungan yang baik dengan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Menurutnya, aktiviti berbuka puasa tidak perlu dipolitikkan sebaliknya harus dijadikan peluang untuk mengeratkan hubungan antara kaum.

“Pas sebagai sebuah gerakan dakwah mesti mampu mendekatkan masyarakat non-Muslim bagi memahami Islam, walau mereka tidak menerima Islam sebagai agama.

“Aktiviti berbuka puasa tidak perlu dipolitikkan mahupun digunakan untuk tujuan politik. Sebaiknya aktiviti digunakan sebagai medan merapatkan hubungan antara kaum dan meningkatkan pemahaman antara agama,” katanya.

Tulisan Salehhudin mendapat komen bertentangan daripada pengerusi DHPP Kenyataan ini dipercayai ada kaitan dengan tulisan Yang Dipertua Pas kawasan Gombak, Salehhuddin Nasir yang meluahkan rasa tidak puas hatinya di Facebook berhubung tindakan pimpinan DAP menghadiri majlis berbuka puasa bersama penganut Islam.

Menulis di Facebook pada 28 Mei lalu, Salehhuddin secara berterus-terang mengakui ‘meluat (dan) menyampah’ dengan keadaan tersebut yang dianggapnya sebagai menyibuk.

“Masa lain buat pesta arak dan pesta onani. Haram jadah sungguh,” katanya merujuk kepada program yang dikaitkan dengan Penang Tourism tetapi sebenarnya tidak wujud seperti disahkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, 27 Mei lalu.

Bagaimanapun, tulisan itu mendapat komen bertentangan daripada pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) N Balasubramaniam yang mengatakan tidak haram orang bukan Islam menghadiri majlis berbuka puasa bersama orang Islam.

“Dari segi hukum Islam orang bukan Islam datang untuk berbuka puasa tak salah juga tak haram mereka datang untuk meraikan sahaja,” tulisnya di ruangan komen.