Tuan rumah hidang Chicken Chop untuk tetamu beraya, ramai minta alamat nak datang

Oleh WAN SITI AMINAH

Tindakan seorang tuan rumah menghidangkan Chicken Chop buat para tetamu yang berkunjung ke kediamannya untuk beraya telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.

Mana tidaknya, tuan rumah itu telah mencipta kelainan dengan menghidangkan makanan Barat ketika musim perayaan bukan juadah Aidilfitri seperti rendang, ketupat dan sebagainya.

Berdasarkan rakaman dimuat naik oleh tetamu rumah itu di platform TikTok, dilihat semua yang hadir dihidangkan dengan sepinggan hidangan Chicken Chop lengkap dan cukup menyelerakan.

Dalam pinggan tersebut, tuan rumah turut menyediakan salad campur atau ‘coleslaw’ ala KFC, kentang goreng dan kuah lada hitam untuk dimakan bersama Chicken Chop berkenaan.

“Hebat tuan rumah ini. Lain macam hidangannya,” tulis pemilik rakaman berdurasi 14 saat berkenaan di ruangan kapsyen hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya itu.

@nuek_

Hebat tuan rumah ni lain mcm hidangan nya 🤣 #raya #raya2025 #rayacore @eikafika6 @Sya Dieda

♬ QKThr – Aphex Twin

Pemilik rakaman tersebut turut memaklumkan bahawa tuan rumah berkenaan bekerja di sebuah restoran hingga membuatkannya sudah terbiasa menyediakan makanan menyelerakan serupa seperti di kedai makan.

Setakat artikel ini ditulis, hantaran tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 323,400 tontonan dan 19,700 tanda suka daripada pengguna laman TikTok yang mana rata-ratanya mengakui terliur melihat hidangan tersebut.

Ramai juga pengguna secara berseloroh meminta alamat tuan rumah berkenaan untuk turut beraya di kediaman tersebut seterusnya menikmati hidangan Chicken Chop secara percuma.

“Unik betul. Harap tetamu tak rasa ‘culture shock’ (kejutan budaya). Biasa paling senang, orang hidang bihun goreng sahaja. Tidak pun laksa, laksam, mi kari ataupun soto,” kata seorang pengguna.

“Mana boleh hidang Chicken Chop masa beraya. Kalau tak jemput saya.” Seloroh pengguna lain yang meninggalkan komen mencuit hati pelayar TikTok lain dalam perkongsian tersebut.

Baca juga: Bukan main lagi parkir kereta sampai dalam rumah jiran