Tuan Speaker… ikut arahan gunakan kuasa juga ‘bloody fool’

Tuan Speaker… ikut arahan gunakan kuasa juga ‘bloody fool’

Salahuddin Ayub

Tindakan Speaker Dewan Rakyat menggunakan kuasanya untuk menangguhkan perbahasan usul rang undang-undang akta 355 di Dewan Rakyat semalam juga boleh dianggap ‘bloody fool’ (sangat bodoh) kerana jelas penangguhan itu dibuat atas arahan pihak tertentu, tegas Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Dalam satu kenyataan hari ini, Salahuddin mengulas tindakan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang secara tiba-tiba menangguhkan sidang Dewan Rakyat setelah anggota parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hasan berucap menyokong usul RUU Akta 355 yang dikemukakan anggota parlimen Marang.

Bagi Salahuddin, tindakan speaker itu secara jelas menjatuhkan kredibiliti Pandikar dan institusi Dewan Rakyat.

“Kita mahu Speaker Parlimen seorang reformis yang mampu merubah struktur institusi Parlimen kita sebagaimana kita belajar proses Parlimen di negara-negara Komanwel yang mencapai kecermerlangannya.

“Cara Speaker membuat keputusan terhadap pembentangan usul YB Marang semalam adalah jelas menjatuhkan kredibiliti beliau dan intitusi Parlimen itu sendiri. Di mana lagi tempat yang terbaik dan mulia untuk sesuatu usul atau RUU itu dibahaskan?” tegasnya.

Menurut Salahuddin, semua pihak perlu diberikan ruang yang saksama untuk berbahas di parlimen menjadikan sikap adil dan bijaksana seorang Speaker amat perlu untuk mengendalikan perjalanan dewan yang mulia.

“Parlimen adalah tempat untuk membahas dan melulus sesuatu rang undang-undang bukan medan permainan politik bagi mencapai agenda pihak berkuasa. Jawatan Speaker sepatutnya diselamatkan dari diperalatkan sebegitu rupa,” tegas beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan isu RUU 355 sebagai sandiwara yang telah disempurnakan skripnya.

“Begitulah hinanya satu RUU yang dikatakan memartabat bidang kuasa Mahkamah Syariah diperlakukan semahu-mahunya dalam Parlimen kita.

“Maaf Tuan Speaker, sekiranya kita hanya mengikut arahan untuk  menggunakan kuasa, ianya juga boleh dianggap “bloody fool”,” ujar beliau sinis.

Semalam, Pandikar menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat apabila bertindak menangguhkan persidangan secara tiba-tiba walaupun ramai anggota dewan telah bersedia untuk membahaskan usul RUU Akta 355 yang dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Pandikar, beliau berkuasa penuh untuk menentukan perjalanan mesyuarat dewan dan membuat keputusan berdasarkan kuasa yang ada padanya.

“Saya ingin kongsikan satu kata-kata hikmat yang terpahat di fikiran saya hingga sekarang – if you are in power, you are powerful, if you don’t use your power, your are a bloody fool.

“Pada hari ini saya tak mahu menjadi bloody fool. Saya nak gunakan kuasa saya dengan membuat ketetapan supaya perbahasan (usul meminda Akta 355 dibawa hari ini) diadakan pada sesi akan datang,” katanya.

Penangguhan sidang itu dibuat kira-kira jam 4 petang. Sidang Dewan Rakyat selanjutnya dijadual diadakan pada 24 Julai ini.

Penangguhan dibuat Pandikar itu mendorong anggota parlimen pembangkang bangkit mengecam keputusan berkenaan kerana mereka tidak diberi peluang membahaskan usul Abdul Hadi itu.

Bagaimanapun Pandikar enggan berganjak, sebaliknya terus meninggalkan sidang.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden MIC Dr S Subramaniam ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat semalam berkata, mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN sudah menetapkan bahawa usul persendirian ahli Parlimen Marang, yang juga Presiden Pas itu akan dibentangkan dan dihuraikan namun tiada pengundian akan dilakukan.

“Keputusannya adalah membenarkan Pas membentangkannya dan terdapat persetujuan untuk tiada sebarang pengundian,” kata Dr Subramaniam dipetik The Malay Mail Online.

Kenyataan yang dibuat Subramaniam dan beberapa pemimpin BN berhubung pembentangan usul RUU 355 menguatkan andaian parti pembangkang bahawa tindakan Speaker menangguhkan persidangan adalah bagi memenuhi keputusan yang dicapai Majlis Tertinggi BN.

Untuk rekod, tiada seorang pun ahli parlimen Pas yang membantah tindakan Pandikar menangguhkan persidangan semalam walaupun Pas berharap usul RUU 355 itu mendapat sokongan anggota dewan.

Pas juga menganjurkan Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur Februari lalu yang antara lainnya bertujuan  menggesa ahli parlimen menyokong usul RUU 355 yang dibawa Abdul Hadi.

COMMENTS

Wordpress (0)