Malaysia Dateline

Tubuh dana khas sumbangan GLC tangani krisis persaraan pekerja

Malaysia akan mencapai status negara menua menjelang 2030 di mana 15 peratus rakyat negara ini berumur 60 tahun ke atas.

Namun, jangkaan ini boleh dicapai lebih awal jika pandemik Covid-19 ini gagal diuruskan dan ditangani dengan baik. Keadaan ini bermaksud peratusan populasi bekerja akan terus mengecil.

Dalam keadaan ini, sistem pencen sosial yang dibayar oleh sistem percukaian sepertimana yang dicadangkan UMNO, adalah idea yang regresif dan lebih mendatangkan kemudaratan berbanding kebaikan.
Sudah pasti cadangan ini akan mengembalikan cukai GST diperkenalkan, manakala subsidi petrol pula dimansuhkan, yang akan menambah beban rakyat.

Ironinya, Umno yang telah mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Umno membenarkan simpanan KWSP dikeluarkan sehingga licin.

Tetapi hari ini, parti yang sama berpura-pura risau apabila dilaporkan hampir separuh ahli KWSP mempunyai simpanan bawah RM10,000.

Jika kerajaan PN memberi lebih banyak bantuan tunai kepada rakyat, bukannya setakat suntikan langsung RM83 bilion sahaja, sudah pasti simpanan KWSP rakyat tidak akan berkurang.

Desakan Umno tempoh hari telah menolak negara ke dalam “retirement crisis” atau krisis persaraan, dan cadangan terbaharu Ketua Penerangan Umno, saudara Shahril Hamdan berkenaan konsep pencen sosial ini hanya akan membebankan kerajaan dan pembayar cukai.

Justeru, kerajaan dicadangkan untuk menubuhkan satu dana khas untuk membantu pesara “Generasi Covid-19” yang mempunyai simpanan yang rendah.

“Generasi Covid-19” ini adalah merujuk populasi bekerja antara tahun 2020-2021 yang terjejas kerana wabak Covid-19.

Dana khas ini perlu menggunakan sumbangan dividen khas Petronas dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ini adalah kerana syarikat-syarikat ini yang mendapat keuntungan ratusan juta sehingga berbilion ringgit setiap tahun perlu digunakan untuk manfaat rakyat.

Dana khas ini seterusnya dilaburkan yang akan menyokong pesara “Generasi Covid-19” dalam tahun-tahun mendatang. Idea ini diyakini lebih adil serta tidak membebankan kerajaan dan pembayar cukai.

*FAIZ FADZIL merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.