Malaysia Dateline

Tubuh jawatankuasa bebas, siasat dakwaan serius terhadap Azam Baki

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya bertindak tegas terhadap tuduhan ke atas Tan Sri Azam Baki yang didakwa mempunyai kepentingan yang bercanggah dengan kedudukannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, peletakan jawatan Dr Edmund Terrence Gomez sebagai panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah di bawah SPRM adalah isyarat jelas bahawa reputasi badan anti-rasuah Malaysia sudah tercalar.

Justeru tegasnya, satu sisatan bebas perlu dilakukan segera untuk membersihkan nama ‘orang no 1’ SPRM daripada tuduhan serius sekaligus menjejaskan nama baik SPRM.

“Pemulihan negara dari krisis politik semasa pasca Covid-19 memerlukan badan pencegah rasuah yang penuh berintegriti dan tegas.

“Jikalau SPRM tidak lagi dihormati kerana tiada tindakan atas tuduhan kepada Ketua Pesuruhjaya sendiri, bagaimana pelabur asing akan yakin untuk berniaga di Malaysia?

“Ini pastinya menjejaskan pemulihan ekonomi negara yang sangat kritikal buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.