Tubuh jawatankuasa bebas siasat kemalangan pesawat TUDM

Tubuh jawatankuasa bebas siasat kemalangan pesawat TUDM

Kemalangan pesawat jenis CN 235-220M (M44-07) perlu disiasat oleh jawatankuasa bebas dengan penyertaan wakil pembangkang supaya lebih telus, tegas bekas jurulatih jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad.

Mejar Zaidi AhmadBeliau berkata, langkah penubuhan badan khas tersebut penting kerana keselamatan anggota tentera ketika bertugas serta aset negara tidak harus dikompromi.

“Jangan kerana nak jimat belanja, nyawa dan keselamatan anak kapal menjadi taruhan,” bidasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas kejadian pesawat TUDM yang terhempas berdekatan kolam udang di Assam Jawa, Kuala Selangor kelmarin, beliau berkata, insiden tersebut begitu jarang berlaku tetapi tidak mustahil terjadi.

“Pesawat CN235 adalah pesawat pengangkut dua enjin. Jika satu enjin rosak, pesawat masih boleh terbang dengan satu enjin sahaja.

“Namun apabila pesawat terpaksa mendarat cemas bererti kedua-dua enjin pada pesawat itu rosak pada masa yang sama,” jelasnya yang telah berkhidmat dalam TUDM lebih 26 tahun.

Beliau khuatir sekiranya insiden yang menimpa lapan kru pesawat itu berkaitan dengan masalah kekurangan alat ganti.

“Akibatnya pesawat yang mengalami masalah kecil diterbangkan juga kerana masalah kekurangan aset tetapi masalah-masalah kecil inilah yang dibimbangi menjadi lebih serius dan mungkin membahayakan nyawa anak kapal,” jelasnya.

Sehubungan itu, Zaidi mengingatkan pihak kerajaan supaya memastikan pembelian alat ganti bagi kelengkapan ketenteraan mencukupi demi keselamatan aset dan anak kapal.

Bela keluarga Pak Hasan Siput

Dalam hal berkaitan, beliau berharap kerajaan tidak mengabaikan nasib keluarga Allahyarham Abu Hasan Abdul Latif, 57, atau dikenali sebagai Pak Hasan Siput yang cuba membantu anggota TUDM terlibat tetapi malangnya lemas terperangkap dalam selut.

“Kita juga bersimpati dengan kehilangan nyawa seorang penduduk awam yang berusaha menyelamatkan anak kapal. Keluarga Allahyarham tentunya perlukan pembelaan,” tambah Zaidi lagi yang sebelum ini pernah mendedahkan kepincangan penggunaan dakwat kekal pada pilihanraya raya umum ke-13 lalu.

Abu Hasan yang kebetulan berada kira-kira 100 meter dari lokasi nahas dilaporkan saksi berusaha untuk membantu mangsa pesawat terbabit tetapi dipercayai terperangkap di lumpur hutan paya bakau berdekatan Stadium Kuala Selangor.

Dalam kejadian pukul 8.40 pagi semalam, pesawat tersebut terpaksa melakukan pendaratan cemas dipercayai akibat masalah enjin selepas 10 minit berlepas dari Pangkalan Udara TUDM.

Bagaimanapun, kesemua lapan kru yang sedang menjalani latihan iaitu terdiri daripada dua juruterbang, dua pembantu juruterbang serta empat anak kapal berjaya diselamatkan nelayan pengutip kerang setempat, Saari Mohd Noor dan rakannya.

TAGS