Malaysia Dateline

Tubuh jawatankuasa bendung isu ‘scammer’

Kes penipuan atau dikenali sebagai ‘scammer’ yang berlaku di kalangan masyarakat di negara ini semakin berluasa kebelakangan ini.

Perkara itu telah mendapat perhatian Adun Perling, Cheo Yee How yang merasakan perlunya menubuhkan jawatankuasa bertindak untuk menangani permasalahan ini.

Menurutnya, isu ini seperti tidak dipantau serta dibendung sehingga hari ini dan melalui maklumat yang diterima beliau, terdapat banyak penipuan yang telah berlaku membabitkan kerugian jutaan ringgit.

“Suruhanjaya Komunkasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu segera bertindak agar perkara ini tidak terus menghantui masyarakat di negara ini.

“Ia tidak mendatangkan kesan kebaikan kepada pengguna malah banyak mendatangkan kesan negatif kepada mereka.

“Saya sarankan agar penubuhan jawatankuasa segera diwujudkan untuk membendung perkara ini. Pembabitan pihak berkuasa seperti polis dan sebagainya perlu disertakan,” ujarnya ketika ditemui.

Selain itu, beliau juga turut mencadangkan sekatan ke atas judi dalam talian yang berluasa sehingga mendatangkan kesan yang negatif kepada masyarakat.

Katanya lagi, selain judi dalam talian, kes penyebaran berita palsu sehingga menggugat ketenteraman awam juga perlu dipantau.

“Judi dalam talian ini amat berbahaya dan ia mengundang risiko yang terlalu tinggi. Orang akan ketagih dengan permainan seperti ini sehingga mengabaikan tanggunjawab mereka.

“Selain itu penyebaran berita palsu yang menggugat ketenteraman awam seperti boleh menyebabkan perpecahan di antara masyarakat.

” Di zaman multimedia ini cabaran kepada kerajaan terlalu besar untuk menyelesaikan hal seperti ini. Saya harap kerajaan mengambil maklum akan permasalahan ini,” jelasnya lagi.