Tangani segera isu pegawai kanan media kerajaan masih pro-BN

Tangani segera isu pegawai kanan media kerajaan masih pro-BN

WAWANCARA GENAP SETAHUN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN

Genap setahun Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, banyak analisis positif terhadap prestasinya dalam tempoh itu. Antara aspek paling menyerlah adalah proses pembaharuan atau reformasi mengenai kebebasan bersuara, khususnya media.

Namun begitu, masih ada sekatan, terutama akta dan peraturan mengongkong, yang masih belum dimansuhkan atau dirombak. Di samping itu, media bebas tidak hanya diukur dengan keberaniannya mendedahkan amalan buruk regim terdahulu tetapi juga sikap kritisnya terhadap pemerintah dan sektor bisnes hari ini.

Bekas profesor madya komunikasi dan kewartawanan Universiti Sains Malaysia (USM), DR MUSTAFA K ANUAR, turut mengulas isu ini, dalam sesi wawancara dengan kolumnis Malaysiadateline AHMAD LUTFI OTHMAN, termasuk soal keberkesanan agensi media kerajaan, populariti Pakatan Harapan yang dikatakan merosot dan juga isu kerajaan sepenggal.

Dr Mustafa memulakan kerjaya sebagai wartawan, penghujung 1970-an, tiga tahun sebelum memasuki dunia akademik selama 30 tahun. Selepas bersara pernah berkhidmat sebagai Felo Kanan di Penang Institute dan menyertai portal berita The Malaysian Insight. Beliau juga aktif dalam persatuan Aliran.

 

Dr Mustafa K Anuar bersama buku terbaharu Ahmad Lutfi Othman yang merakam detik-detik bersejarah 9 Mei 2018.

 

AHMAD LUTFI: Benarkah media sudah terlepas daripada sebarang sekatan dan kongkongan di bawah kerajaan Pakatan Harapan? Bagaimana pula pandangan Dr terhadap dakwaan bahawa media bebas boleh mengundang padah dan menimbulkan keresahan umum sehingga merebaknya budaya fitnah dan penyebaran berita palsu?

DR MUSTAFA K ANUAR: Walaupun ruang untuk media lebih luas daripada dulu, namun sekatan masih ada khususnya dalam bentuk undang-undang antidemokratik seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Ruang yang luas ini membolehkan kewujudan berita palsu, dan ini tidak dapat dielakkan. Malah, dalam era pentadbiran Najib Razak pun ada merebaknya berita palsu melalui media arus perdana. Salah satu benteng untuk melawan berita palsu ialah media yang mana integritinya tidak dapat disanggah atau dicabar dan boleh menjadi rujukan penting kepada orang ramai yang ingin mencari kebenaran.

Populariti Pakatan Harapan dikatakan jatuh merosot selepas setahun memerintah, rakyat pula semakin ramai tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan, malah sentimen perkauman dan sikap saling menghormati di antara agama kian pudar. Ada pihak menganggap faktor keterbukaan kerajaan dan media bebas menyebabkan fenomena tersebut.

Saya kira ada segolongan rakyat yang merasa tidak puas hati terhadap pemerintahan Pakatan Harapan sehingga menyebabkan popularitinya merosot. Tapi saya kira kemerosotan itu tidaklah begitu parah sepertimana yang diwar-warkan oleh pihak-pihak tertentu dalam masyarakat kita. Ya, keterbukaan ini boleh mengundang penyalahgunaan kebebasan yang wujud selepas PH mengambil alih kuasa.

Fenomena ini adalah situasi yang wujud selepas satu rejim kuku besi ditewaskan sepertimana berlaku di Indonesia selepas Suharto jatuh. Saya kira ini satu fenomena transisi atau zaman peralihan yang perlu dilalui masyarakat.

 

Bagaimana Dr sendiri melihat perkembangan media pasca 9 Mei 2018 khususnya akhbar cetak dan radio/ televisyen yang dahulunya, di bawah regim lama, dikongkong dan dikawal sepenuhnya? Apakah sudah berlaku proses reformasi media dan adakah ia berada di atas landasan yang betul? Sebagai peneliti media, mungkin ada cadangan Dr bagi meningkatkan integriti dan kualitinya? Daripada segi undang-undang, apa peraturan atau akta yang perlu dirombak atau dimansuhkan terus, atau perlu rang undang-undang baharu diperkenalkan?

Seperti yang telah saya nyatakan, secara umumnya keadaan media adalah lebih bebas daripada dahulu sebelum Pakatan Harapan mengambil kuasa. Namun, ada media, khususnya yang dahulunya dalam cengakaman parti pemerintah, yang bersikap berhati-hati, mungkin tidak mahu kelihatan begitu kritis terhadap pemerintahan PH. Apa yang dikhuatirkan ialah mungkin ada media ini yang “berpaling tadah” dalam ertikata, jika dahulunya dia “mengampu” pemerintahan BN, sekarang dia “ampu” PH pula.

Untuk mengukuhkan integriti dan kualiti, sesebuah media perlu bersikap bebas dan kritis, akur kepada kod etika kewartawanan, dan punyai kesahihan berita dan maklumat yang sukar dicabar atau diragui.

Undang-undang berikut perlu dimansuhkan atau ada yang perlu dirombak: Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia. Pemerintah juga perlu mewujudkan Akta Kebebasan Maklumat demi ketelusan dan akauntabiliti pihak pemerintah.

Media perlu bersikap bebas dan kritis, akur kepada kod etika kewartawanan, dan punyai kesahihan berita.

 

Banyak pihak pula tidak berpuas hati dengan peranan media kerajaan, seperti RTM dan Bernama, dalam usaha memperjelas dasar-dasar dan program-program baharu kerajaan, sekali gus menyanggah serangan pembangkang. Dikatakan pegawai-pegawai kerajaan dalam agensi berkenaan, termasuk Jabatan Penerangan masih menyokong pentadbiran lama dan tidak berperanan sebaiknya untuk membantu kerajaan baharu, sebaliknya mungkin melakukan sabotaj secara halus terhadap pentadbiran sedia ada. Mungkin Dr ada tanggapan sendiri terhadap dakwaan itu dan apa sepatutnya dilakukan oleh agensi media kerajaan, khususnya dalam konteks pemulihan negara?

Saya tidak mempunyai apa-apa data yang boleh dijadikan bukti, namun saya kira ada anasir-anasir tertentu dalam media pemerintah kini yang masih “bersikap BN” hingga terjejas usaha pemerintah untuk memperjelaskan dasar-dasarnya kepada khalayak ramai.

Mungkin ada perlunya pihak pemerintah Pakatan Harapan mewujudkan segolongan pakar media atau jawatankuasa media untuk menjadi pemangkin kepada usaha memperjelaskan dasar pemerintah kepada rakyat menerusi media pemerintah.

Kebebasan media tentu tidak boleh diukur hanya kerana laporannya yang berani mendedahkan segala kesalahan regim terdahulu, tetapi ia juga bergantung kepada ketelusannya menyiarkan laporan tidak berat sebelah, termasuk membongkar amalan rasuah dan salahguna kuasa penguasa hari ini.

Kebebasan media perlu diukur sejauh mana ia boleh bersikap bebas dan kritis terhadap mana-mana pihak, termasuk pemerintah dan sektor bisnis. Itu sebabnya tidak cukup sekadar media heboh dengan rasuah regim dulu; ia perlu juga membongkar amalan rasuah era Pakatan Harapan, jika ada.

 

Boleh Dr huraikan sedikit cadangan memperkenalkan Majlis Media bagi pengamal media sendiri mengawalselia hal-ehwal mereka.

Majlis Media diwujud atas keinginan untuk mengawalselia diri media sendiri tanpa campur tangan pihak pemerintah. Ini bermaksud media perlu bersikap bertanggungjawab atas apa yang ia laporkan dan lakukan.

Tapi untuk memastikan pengawalseliaan ini dapat dilaksanakan dengan baik, undang-undang yang mengongkong media haruslah dimansuhkan, seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan dan lain-lain. Jika masih ada undang-undang tersebut, ini bermakna ada dua lapisan kawalan yang wujud mengawal wartawan yang boleh merumitkan tugas wartawan berkenaan.

 

Ada pihak mendakwa keutamaan kerajaan baharu sepatutnya kepada isu-isu mendesak berkaitan kehidupan seharian rakyat, seperti kenaikan harga barang, peluang pekerjaan, kejatuhan harga sawit dan getah, mengembalikan subsidi dan bantuan, serta menunaikan janji-janji manifesto, contohnya berkaitan tol, PTPTN dan harga minyak. Isu-isu seperti hak asasi, kebebasan kehakiman, reformasi institusi, usaha memerangi korupsi, tidak diletakkan dalam senarai keutamaan sebab didakwa tidak dekat dengan hati rakyat, khususnya masyarakat luar bandar. Minta komen Dr.

Isu tentang kenaikan harga barang, peluang pekerjaan, kejatuhan harga sawit dan getah dan sebagainya memang perlu diutarakan kepada rakyat. Namun persoalan berkaitan hak asasi, kebebasan kehakiman, reformasi institusi dan sebagainya juga tidak boleh dipisahkan kerana ini ada kaitan rapat dengan isu-isu yang terdahulunya.

Misalnya, kebebasan bersuara diperlukan untuk membolehkan rakyat membuat bantahan terhadap kenaikan harga barang; dan kebebasan kehakiman juga diperlukan untuk memastikan rakyat jelata mendapat keadilan dalam hal yang menjejaskan hak asasi mereka.

 

Sejak akhir-akhir ini heboh dicanangkan kerajaan PH ini mungkin sekadar kerajaan satu penggal, terutama selepas “penyatuan” Umno dan Pas. Gabungan undi kedua-dua parti Melayu itu dilihat mampu menjatuhkan PH dalam PRU15 nanti. Dr melihat bagaimana?

Penyatuan Umno dan Pas sering dilihat sebagai satu strategi yang bijak bagi memancing undi orang Melayu. Namun, perkiraan ini tidak mencukupi kerana selagi pentadbiran PH dapat menunjuk kesungguhannya untuk menambahbaik taraf kehidupan rakyat, khususnya yang miskin, selagi itulah pentadbiran PH masih relevan.

Pakatan Harapan juga perlu menekankan peri mustahaknya prinsip keadilan dan ketelusan dalam pentadbirannya bagi menjayakan objektif utama untuk memajukan masyarakat dan negara. Tidak kurang pentingnya bagi PH ialah untuk memperlihatkan dirinya yang bersih daripada rasuah supaya tidak ada ketirisan yang membebankan negara.

 

Penyatuan Umno-Pas bagi memancing undi Melayu.