Malaysia Dateline

Tubuh kerajaan baharu yang inklusif, cadang Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH Nasional menggesa agar kerajaan baharu segera ditubuhkan dengan semangat inklusif dan muafakat ahli-ahli parlimen merentasi parti politik untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan negara Malaysia tercinta.

Pengarah Strategi Pemuda AMANAH Ammar Atan berkata, Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Kabinetnya telah gagal menyelamatkan nyawa rakyat, ekonomi dan mentadbir negara.

Lebih parah lagi katanya Kerajaan PN yang juga dianggotai Umno secara terangan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan bahkan mengancam kedudukan kedaulatan Raja-Raja Melayu dengan perbalahan terbuka terhadap KDYMM SPB Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara.

“Hari ini, anak muda telah berani untuk meluahkan kekecewaan mereka terhadap kegagalan kerajaan ini sama ada di media sosial mahupun menghadiri perhimpunan aman #Lawan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur,” katanya.

Justeru, Pemuda Amanah Nasional menyeru agar semua Ahli Parlimen Malaysia yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan Institusi Raja-Raja Melayu untuk bersepakat mendesak Tan Sri Mahiadddin Yassin dan seluruh kabinetnya untuk berundur dengan serta merta.

Perkembangan ini susulan Yang di Pertuan Agong memberi teguran terhadap kerajaan, menuduh menteri undang-undang Takiyuddin Hassan mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengatakan bahawa ordinan darurat telah dibatalkan.

Agong bagaimanapun berkata baginda tidak pernah memberi perkenan kepada pembatalan itu dan menyatakan rasa dukacita kerana ia tidak dibentang dan dibahas di parlimen.