Malaysia Dateline

Tubuh Kerajaan Penyelamat Nasional, cadang tokoh media

Tokoh media Datuk A Kadir Jasin mencadangkan agar Kerajaan Penyelamat Nasional ditubuhkan segera bagi menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gagal.

Dalam satu kenyataan di Facebook beliau, bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu berkata, kerajaan ini hendaklah terdiri dari ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, usahawan dan juga cendekiawan.

“Apa kata kita tubuh Kerajaan Penyelamat Nasional (National Salvation Government) terdiri daripada ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, usahawan dan cendekiawan?” tulis beliau.

Cadangan beliau itu mendapat sokongan segera dari rakan-rakan beliau yang mengulas cadangan itu.

Antaranya mencadangkan agar beliau membuat kabinet bayangan siapakah tokoh-tokoh yang patut ada dalam kabinetnya.

“Setuju sangat, buat segera kabinet bayangan wakil marhaen jangan dilupa,” tulis Muhamad Yushak.

Teuku Shafiz Rullah pula sangat bersetuju dengan cadangan bekas Ketua Pengarang kumpulan media terbesar negara itu.

“Salam Sejahtera Datuk, saya sokong penuh. Keperluan yang mendesak. Buat lah perancangan atau perjumpaan. Anak muda ini akan sedia mempetaruhkan nyawa demi masa depan bangsa.. generasi anak2 saya,” tulis beliau.

Ahmad Ghiti pula mencadangkan agar Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan kepercayaan untuk membentuk kerajaan yang baharu.

“Kita sudah ada Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat yang boleh di tunjuk oleh YDPA untuk membentuk kerajaan alternatif dan beliau beliau membentuk kabinetnya dan mendapat kan undi percaya di Dewan Rakyat. Itu jalan yang lebih mudah dan demokratik,” katanya.

Sopian Ahmad pula menulis, “Itu yang terbaik Datuk Kadir, mengambil kira keadaan dalam negara sekarang. Tapi saya rasa, pemimpin yang berkuasa hari ini telah mentafsirkan Kepentingan Nasional [National Interests] sebagai “kepentingan orang yang berkuasa.”