Amanah cadang mahkamah khas tentukan hak penjagaan anak ibu bapa tukar agama

Amanah cadang mahkamah khas tentukan hak penjagaan anak ibu bapa tukar agama



Amanah mencadangkan mahkamah khas ditubuhkan bagi membicarakan kes berkaitan pembubaran perkahwinan dan penjagaan kanak-kanak apabila seorang daripada pasangan memeluk agama Islam dan seorang lagi kekal bukan Islam.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Khalid SamadAmanah mencadangkan mahkamah khas ditubuhkan bagi membicarakan kes berkaitan pembubaran perkahwinan dan penjagaan kanak-kanak apabila seorang daripada pasangan memeluk agama Islam dan seorang lagi kekal bukan Islam.

Pengarah Komunikasi Khalid Samad mencadangkan demikian merujuk kepada kes membabitkan seorang kerani S. Deepa dan bekas suaminya, pemandu lori Izwan Abdullah yang memeluk Islam dan menukarkan agama kedua-dua anak mereka yang didakwa tanpa kebenaran.

“Kita mengakui wujudnya satu vakum dan kekurangan dalam sistem yang sedia ada untuk menangani masalah seperti ini dan kita meminta dikaji balik. Cadangan kita wujudkan mahkamah khas membabitkan mahkamah syariah dan mahkamah sivil untuk kedua pihak didengari oleh satu mahkamah,” kata beliau pada sidang media di Wisma Amanah, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, Islam mempunyai sistem yang adil dan akan memberikan hak pendengaran kepada kedua-dua pihak.

“Mungkin ada yang akan mengatakan ini menempelak agama dan mahkamah syariah.

“Lebih baik dua-dua sistem kehakiman duduk berbincang untuk menangani kes khas seperti ini yang terpenting untuk menjamin keadilan tertegak. Islam mengiktiraf hak penjagaan ibu bapa sama ada Islam atau tidak Islam,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu meneliti perkara itu yang memerlukan pendekatan baharu.

“Saya harap Jakim dari masa ke masa buat kajian seperti ini. Ia perlukan pendekatan baharu. Ini peranan Jakim,” katanya.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif memutuskan S Deepa dan bekas suaminya, Izwan Abdullah memperoleh hak penjagaan anak masing-masing di mana anak perempuan, Nurul Nabila, 11, diserah kepada ibu dan anak lelaki Nabil, 8, kepada Izwan.

Hakim Raus berkata, mahkamah telah menemu bual kedua-dua kanak-kanak itu, Nabil dan Nur Nabila, sambil menambah bahawa anak lelaki itu menyatakan beliau mahu tinggal bersama bapa dan anak perempuan itu berkata dia mahu bersama ibunya.

Beliau berkata, nampaknya kanak-kanak itu mahu berada bersama ibu bapa mereka.

Nur Nabila kini tinggal dengan ibunya di Johor Bahru manakala anak lelaki mereka tinggal di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dengan Izwan yang sebelum Islam dikenali sebagai N. Viran.

TAGS