Malaysia Dateline

Tubuh Majlis Keselamatan Makanan bagi hadapi wabak Covid-19

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Majlis Keselamatan Makanan Negara (MKMN) segera bagi menangani isu makanan ketika wabak Covid-19.

Dalam wawancaranya dengan TV internet Jom Channel, Salahuddin berkata, walaupun negara sudah ada Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi keperluan MKMN sangat mendesak sekarang.

“Jika Perintah Kawalan Pergerakan ini berterusan, bekalan makanan kita hanya mencukupi sehingga Ogos sahaja.

“Tambahan lagi wabak ini berlaku serentak di seluruh dunia di mana semua negara akan berhadapan dengan krisis bekalan makanan untuk rakyat mereka.

“Kalau krisis atau tragedi berlaku di sesuatu tempat sahaja di dunia seperti Tsunami di Aceh atau gempabumi di Iran, negara lain boleh bantu.

“Tetapi krisis ini berlaku di seluruh dunia. Setiap negara menjaga kepentingan masing-masing.

“Jadi negara perlu bersedia berhadapan dengannya. Penubuhan Majlis Keselamatan Makanan adalah terbaik untuk membolehkan semua pakar-pakar kita duduk dan berfikir serta menyusun strategi yang sesuai mengenai,” kata Salahuddin dalam wawancara itu.

Menurut ahli parlimen Pulai itu, misalnya, negara hanya boleh membekalkan 70% sahaja keperluan beras negara manakala 30% lagi diimport.

“Baru-baru ini saya membaca berita Vietnam menghentikan eksport beras mereka. Jadi kita akan berhadap dengan risiko kekurangan beras jika kita tidak besedia dari sekarang jika wabak ini berterusan,” katanya.

Berdasarkan pengalaman China, mereka mengenakan perintah larangan pergerakan sehingga empat bulan baru wabak ini berjaya dikawal, katanya.

“Kita baru dua minggu. Jadi kita kena bersedia. Saya yakin kita ada pakar-pakar yang hebat untuk menyusun startegi bagi mengatasi masalah ini,” kata beliau dalam wawancara itu.

Timbalan Presiden AMANAH itu juga berkata, beliau bersedia untuk memberikan pandangan mengenainya jika diperlukan.

WAWANCARA PENUH SILA KLIK DI SINI