Malaysia Dateline

Tubuh panel industri antarabangsa, cadang AMANAH hadapi jatuhnya FDI

Satu panel industri antarabangsa perlu ditubuhkan segera untuk merangka dasar pelaburan negara yang baharu, ekoran laporan Bank Dunia yang mendapati Malaysia ketinggalan dalam melakukan reformasi dasar pelaburan.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, negara memerlukan satu pelan pelaburan jangka panjang yang memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan industri baharu yang mempunyai sinergi atau keberkaitan dengan industri utama negara sedia ada.

Sebagai contoh katanya, kekuatan Malaysia dalam pembuatan semikonduktor dan peralatan elektronik boleh dikembangkan ke arah pembangunan industri berteknologi tinggi.

“Sehingga bila Malaysia mahu kekal menjadi pengeluar komponen untuk negara lain? Malaysia harus bangkit menjadi negara yang memperkenalkan teknologi berinovasi tinggi.

“Untuk itu, kerajaan harus keluar daripada mentaliti tertutup dan memikirkan insentif dan dasar yang sesuai untuk menarik pelabur-pelabur antarabangsa.

“Pada masa yang sama, fokus membangunkan syarikat-syarikat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adun Permatang Pasir itu juga menegaskan, Malaysia tidak boleh terus melengahkan usaha menarik pelaburan langsung asing sehingga negara-negara serantau seperti Vietnam dan Indonesia mengambil alih kedudukan Malaysia dari aspek pelaburan dan penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi.

Justeru katanya, penubuhan barisan panel itu nanti perlu terdiri daripada wakil syarikat-syarikat terkemuka dunia dalam industri yang ingin dibangunkan Malaysia dan dikoordinasi oleh agensi kerajaan berkaitan.

“Menerusi kaedah ini, insentif dan perancangan yang terkandung dalam dasar berkenaan akan relevan dengan kehendak pelabur dan seterusnya menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang utuh.

“Usaha menarik pelaburan asing tidak harus terhenti setakat pemberian insentif sahaja.

“Tetapi juga memerlukan perancangan yang lebih menyeluruh terutamanya dalam mengukuhkan modal insan berkemahiran tinggi, memupuk inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta meningkatkan persaingan pasaran,” ujarnya.