Malaysia Dateline

Tubuh parti baharu, Mahathir tiada niat pecah belah Melayu

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sama sekali tidak berniat menambah apatah lagi memecah belahkan kaum Melayu dengan pengumuman penubuhan parti Melayu yang baharu.

Namun bekas Pengerusi Bersatu itu mendakwa, parti yang diasaskannya dahulu telah menyeleweng dari asas perjuangan sebenar apabila memilih untuk bekerjasama dengan parti kleptokrat yang ditewaskan dalam Pilihanraya yang lalu.

“Dahulu, Bersatu ditubuhkan khusus untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrat Najib Razak, tapi kini mereka sudah lari daripada tujuan asal parti dan menyeleweng.

“Saya juga tak suka kita banyak parti Melayu, tapi kita dapati parti Melayu seperti Umno sebelum ini yang menjalankan amanah dengan baik, nampaknya lebih berminat gunakan kuasa untuk dapatkan duit.

“Mereka cakap ini untuk Islam, tapi apa dia buat tak islamik,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, beliau berkata keputusan untuk menubuhkan parti baharu itu selepas ahlinya sendiri telah ‘hijack’ parti tanpa persetujuan ahli parti.

Langkah itu menyebabkan Mahathir dan lima lagi bekas ahli Bersatu disingkirkan atas alasan berada dalam kedudukan pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat yang diadakan 18 Mei lalu.

Beliau berkata, apabila keahlian digugurkan, sekaligus ianya akan menyekat pergerakan mereka untuk bertanding dan justeru itu mereka perlu memikirkan cara ‘membebaskan diri’.

“Kita berjaya (dalam PRU) kerana rakyat sokong perjuangan kita. Tapi selepas dua tahun kita bersama PH, pihak residen Bersatu hijack parti ini tanpa persetujuan parti. Mereka bergabung dengan parti Umno dan Pas iaitu parti musuh kita.

“Apabila di hijack, ada bahagian tak bersetuju. Dengan itu, daripada 12 orang pengasas parti, enam orang iaitu kami masih tidak menyertai ‘hijacking’ itu. Kita anggap kita adalah paksi dalam Bersatu tapi nampaknya Bersatu berpendapat kita tak boleh ada dalam parti yang di’hijack’

“Kalau kami nak bertanding, Bersatu yang dipimpin Muhyiddin tidak akan mengeluarkan watikah untuk kita, maka kita tak boleh bertanding. Sebab itu kita perlu bebaskan diri untuk bertanding atas parti baharu,” katanya lagi.