Malaysia Dateline

Tubuh parti baru perlu utamakan kepentingan rakyat

Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang (Teras) amat peduli mengenai kewujudan parti politik baru dalam negara, khususnya yang melibatkan kepentingan orang Melayu.

Demikian dizahirkan oleh Timbalan Pengerusinya Abdullah Mohd Nor ketika ditemui.

Jelas beliau, amalan demokrasi dalam negara ini sudah pasti menjadi platform utama kewujudan parti-parti politik kini.

Namun begitu katanya, ia harus mengutamakan kepentingan dan keperluan rakyat sepertimana kewujudan Pakatan Harapan semasa pilihan raya umum ke 14 yang lalu.

“Sebelum ini rakyat telah berjaya menikmati polisi dan dasar yang telah diperkenalkan oleh kerajaan PH serta dapat membandingkan bentuk kepimpinan yang ada semasa kerajaan terdahulu.

” Kini dengan wujudnya sebuah lagi parti baru yang dicanang-canangkan dipimpin oleh Tun Mahathir, maka ia harus memberi prioriti kepada usaha untuk memperjuangkan nasib rakyat dan tidak wajar ada sekelumit pun niat untuk kepentingan perialbadi mana-mana pihak.

“Sejajar dengan itu rakyat perlu serius dan bersungguh-sungguh menilai setiap kewujudan parti-parti baru dengan pelbagai jenama dan label yang dipromosi atau dimomokkan, samada benar ianya memperjuangkan rasuah, kleptokrasi, nepotisme maupun salah laku pimpinan dalam pelbagai aspek, ” tambah beliau.

Oleh kerana itu saran Abdullah, rakyat tidak harus dengan begitu mudah menerima apa jua parti dan istilah yang diwar-warkan sehinggalah terbukti ianya benar-benar serius dan komited memperjuangkan hak dan keperluan rakyat.