Malaysia Dateline

Tubuh parti bukan suka-suka, kata Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penubuhan parti politik satu perkara serius yang perlu mempunyai hala tuju dan dasar perjuangan yang jelas.

Pemimpin Pas itu mendakwa beliau pernah bertanyakan tentang penubuhan AMANAH kepada presiden parti berlandaskan prinsip Rahmatan Lil ‘Alamin itu, Mohamad Sabu.

“Saya bertemu dengan ramai sahabat. Saya jumpa Abang Mat (Mohamad). Saya jumpa tanya dia, nak bawa ke mana, nak berjuang apa?

“Kita kena faham parti ini bukan suka-suka, bukan main-main. Biar jelas nak bawa ke mana parti.

“Apa dasar berjuang? Kalau nak berjuang Islam, Pas sudah ada,” ujarnya dalam forum siaran langsung dari TV Makmur malam tadi.

Menurutnya, semua parti lain juga ditubuhkan untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa sebaliknya Pas bertujuan mengisi kekosongan perjuangan Islam.

“Kalau nak berjuang sekadar basmi rasuah, banteras penyelewengan, semua parti berjuang yang sama. Pas yang kita wujud ini kerana membawa dasar Islam sebab tiada parti yang memperjuangkan gagasan Islam yang syumul dalam ekonomi, politik dan perundangan.

“Sebab itu, ruang kosong ini diisi oleh Pas. Kalau sekiranya sudah ada orang lain mengisi, Pas tiada keperluan. Kita wujud kerana ruang kekosongan yang sedia ada,” jelasnya.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, kewujudan pelbagai parti politik dianggap kebanyakan orang sebagai tanda perpecahan walaupun mengakui tidak menyalahi demokrasi.

“Ke mana sebenarnya parti ini nak bawa rakyat kerana parti politik mesti ditubuh di atas asas yang betul. Parti politik tak boleh tubuh kerana kecewa, dipecat, kerana dibuang, kalah muktamar. Ini asas yang tidak kukuh.

“Walaupun saya tulis satu artikel sebenarnya perbezaan parti politik tidak menggambarkan perpecahan tetapi kebanyakan orang anggap adanya pelbagai parti politik ini tanda perpecahan.

“Orang Melayu berpecah. Ada parti Umno, PKR, Bersatu, AMANAH. Parti-parti yang banyak ini menggambarkan sistem demokrasi yang agak subur tetapi apa yang lebih penting ke mana parti ini nak bawa rakyat?” soalnya lagi.

Mengulas sambutan umum terhadap Pas, Tuan Ibrahim mendakwa ramai memberi sambutan dengan menghadiri program yang dianjurkan termasuk penyertaan anak muda berkonvoi motosikal dalam satu program di Selama baru-baru ini.

“Beberapa hari lepas di Kedah, di Perak dan Pulau Pinang. Alhamdulillah, selain berjumpa sahabat-sahabat, meninjau persiapan menghadapi pilihan raya dan menilai respons pengundi terhadap perjuangan Pas bawa.

“Alhamdulillah, di Selama, Perak ada satu himpunan anak-anak muda yang berkonvoi motor lebih kurang 1,000. Itu pun sudah keluar dari Pas. Kalau tidak lagi ramai.

“Malam itu pula satu himpunan yang sangat ramai (hadir),” katanya lagi menerusi tv internet yang bersiaran dari bangunan kedai depan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Temerloh itu.