Malaysia Dateline

Tubuh perpustakaan bantu golongan kurang berkemampuan

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Maharani Norhayati Bachok, hari ini telah menubuhkan perpustakaan mini untuk membantu golongan kurang berkemampuan di sekitar Dun beliau.

Perpustakaan yang terletak di pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) itu telah menyediakan kelengkapan untuk pengunjung mencari bahan rujukan atau pembacaan.

Menurutnya lagi, selain membantu golongan kurang berkemampuan, perpustakaan itu juga ditubuhkan bagi tujuan menyahut kempen baik dari kerajaan yakni ‘Malaysia Membaca’.

“Saya dapati terdapat keperluan dan permintaan masyarakat setempat untuk mewujudkan perpustakaan ini.

“Dalam agama Islam juga kita diajar untuk membaca dan pihak kami bersungguh bagi memastikan masyarakat di negara ini berilmu serta menyahut seruan ‘Malaysia Membaca’ menuju Dekad Membaca Kebangsaan.

“Kita akui perpustakaan mampu mewujudkan budaya membaca serta tujuan perpustakaan ini juga untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan akses percuma kepada rujukan bahan bacaan,” ujarnya ketika dihubungi.

Dalam pada masa yang sama, Ketua AWAN Negeri Johor itu juga menyatakan bahawa penubuhan perpustakaan itu mendapat kerjasama yang baik dari Perpusatakaan Negara Malaysia (PNM) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ).

Selain itu beliau turut memaklumkan bahawa bahan bacaan yang ada di perpustakaan mini itu dilengkapi dengan rujukan umum hinggalah rujukan sekolah.

“Istimewanya perpusatakaan ini saya cuba memfokuskan lebih banyak bahan bacaan khusus untuk wanita dan kanak-kanak.

“Ia disebabkan golongan tersebut harus dibekalkan dengan ilmu bagi memainkan peranan sebagai tonggak masyarakat.

“Selain PNM dan PPAJ, kita juga telah mendapat kerjasama dari penerbit-penerbit buku serta penyumbang berbentuk individu untuk bahan bacaan di perpustakaan tersebut.

“Kita mahu menggalakkan masyarakat khususnya di Dun Maharani ini menjadi masyarakat berilmu sesuai dengan permintaan global hari ini yang menanamkan sifat cintakan ilmu,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, perpustakaan tersebut telah pun beroperasi pada 24 Julai yang lalu dan waktu operasinya adalah pada pukul 10:00 pagi hingga 4:00 petang di pejabat PKWR Dun Maharani.

Gimik perasmian perpustakaan tersebut bakal diadakan selewat-lewatnya pada Oktober yang akan datang dan ia adalah insiatif Adun sendiri sebagai saranan budaya membaca pada masyarakat.