Malaysia Dateline

Tubuh RCI dedah operasi ‘Week of Long Knives, Julai 2015’, kata Kit Siang

– Penasihat DAP Lim Kit Siang menyarankan penubuhan sebuah Jawatankuasa Penyiasat Diraja (RCI) untuk mendedahkan sepenuhnya rancangan yang beliau panggil “Week of Long Knives Operation” pada Julai 2015.

Operasi itu dikatakan menyerang prinsip demokrasi berperlembagaan dan melumpuhkan kebebasan dan profesionalisme institusi-institusi utama negara.

Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu mendakwa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, dalam usaha untuk melenyapkan skandal 1MDB, merancang operasi dari pelbagai sudut bagi menyerang prinsip demokrasi yang penting di Malaysia seperti kedaulatan undang-undang.

Beliau mendakwa Najib juga menyerang doktrin pemisahan kuasa, tadbir urus dan integriti awam yang baik di samping melakukan serangan bersistematik ke atas kebebasan, keadilan dan profesionalisme institusi-institusi utama seperti Parlimen, Jabatan Peguam Negara, polis, Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Ketua Audit Negara.

“Rakyat Malaysia berhak untuk tahu apa yang berlaku sepanjang tempoh ‘Week of Long Knives Operation’ pada minggu terakhir Julai 2015 bila negara heboh dengan khabar angin bahawa Peguam Negara akan mendakwa (bekas) perdana menteri Najib atas amalan rasuah berkaitan skandal 1MDB.

“Namun, dengan tiba-tiba pada 28 Julai, 2015, Najib melancarkan serangan dan Peguam Negara Gani Patail dipecat, Mohamad Apandi Ali meletak jawatan dari Mahkamah Persekutuan dan mengangkat sumpah sebagai Peguam Negara baharu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dipecat.

“Institusi negara seperti Jabatan Peguam Negara, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara dilumpuhkan dan ‘dijinakkan’ dengan pembubaran Pasukan Petugas Khas mengenai 1MDB,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Di samping itu, Lim mendakwa Najib telah meletakkan Malaysia di tahap reputasi antarabangsa paling rendah oleh kerana perbuatannya yang dikutuk oleh dunia sebagai ‘global kleptokrasi’.

Khamis lepas, Lim mengumumkan menarik diri dari berdebat dengan Najib kerana bimbang program itu akan bertukar menjadi konflik antara orang Melayu dan Cina.

Lim berkata Najib mendakwa ‘kemenangan moral besar’ baginya kerana debat itu batal.

Bagaimanapun, Lim berkata Najib hanya membuktikan politiknya yang muflis dan sikapnya yang tidak bermoral bila beliau mendakwa demikian sedangkan selama beberapa tahun ini beliau membisu tentang global kleptokrasi.- BERNAMA