Tubuh RCI selepas PRU14, saran Musa

Tubuh RCI selepas PRU14, saran Musa

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan peristiwa Memali, jika ditubuhkan harus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bagi mengelak disalahgunakan untuk kepentingan politik dan memancing undi.

Musa berkata suasana politik negara yang tenang dan tenteram selepas pilihan raya akan dapat menghindarkan dan mengelak daripada berlakunya apa juga niat serong mana-mana pihak untuk memperalatkan dan melakukan eksploitasi politik terhadap tragedi yang telah melibatkan kehilangan nyawa itu.

Menurut beliau, menangguhkan penubuhan suruhanjaya itu juga adalah lebih bijak dan lebih menepati tujuan, penubuhan dan prosiding suruhanjaya bagi menyiasat peristiwa itu.

Perkara yang perlu diteliti ialah mengenai kesesuaian masa penubuhan dan prosiding yang dijalankan supaya objektif penubuhannya bukan untuk memenuhi agenda politik sempit jangka pendek hingga mengorbankan kebenaran dan tergelincir daripada matlamat mahu mencari kebenaran secara hakiki, katanya dalam kenyataan media.

Musa yang merupakan Menteri Dalam Negeri semasa peristiwa Memali pada 19 Nov 1985, berkata beliau tidak ada masalah dengan penubuhan suruhanjaya itu asalkan ia adalah dengan niat betul untuk mencari fakta dan kebenaran tanpa sebarang prejudis, dan penubuhannya didasarkan kepada Perlembagaan dan undang-undang negara.

{loadposition myposition} Dalam kejadian 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera dalam peristiwa Memali ketika polis melancarkan operasi menangkap seorang guru, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.

Pada 20 Ogos, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata kerajaan sedia menimbang untuk menubuhkan RCI itu sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa peristiwa itu manakala pemimpin-pemimpin PAS ada mencadangkan penubuhannya.

Musa berkata peristiwa itu berlaku hampir 32 tahun yang lalu dan selain daripada penyediaan kertas putih yang diedarkan di Parlimen, tidak ada sebarang tindakan untuk mencari kebenaran dilakukan.

“Saya tidak nampak rasional dan kebijaksanaan untuk melakukannya secara terburu-buru pada masa ini. Di sebaliknya, dengan menangguhkan penubuhan dan prosiding suruhanjaya ini untuk beberapa bulan lagi, akan meletakkan kredibiliti yang lebih tinggi kepada suruhanjaya tersebut, yang akan kelihatan bebas daripada suasana panas dalam musim politik yang begitu bergelora menjelang PRU14,” katanya.

Mengulas lanjut, Musa berkata beliau yakin semua pihak yang benar-benar serius dan jujur serta mahu mengetahui latar belakang dan kejadian sebenar Peristiwa Memali, akan bersetuju untuk penubuhan dan prosiding RCI ini ditangguhkan sehingga selesainya PRU14.

“Saya sendiri sangat insaf bahawa Peristiwa Memali adalah satu titik hitam dalam sejarah negara kita. Oleh yang demikian, usaha siasatan atau carian maklumat hendaklah dilaksanakan dalam keadaan tenang lagi berfokus, tanpa prejudis dan pilih kasih,\” katanya, sambil mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati apabila membuat kenyataan berhubung isu Memali.

Sehubungan itu, katanya, hanya dengan cara pelaksanaan penubuhan, prosiding dan keanggotaan yang berkredibiliti, disertai dengan amalan yang telus lagi berintegriti, kebenaran akan dapat diperoleh dan negara akan dihormati oleh rakyat tempatan dan dunia antarabangsa.

Musa berkata suara-suara pro dan kontra terhadap penubuhan suruhanjaya itu menampakkan seolah-olah Peristiwa Memali ialah isu biasa politik yang mahu digunakan dalam perlumbaan untuk meraih undi oleh pihak yang masing-masing ada kepentingan dan bernafsu mengeksploitasi laba politik.

“Peristiwa Memali bukanlah peristiwa yang boleh disalahgunakan sebagai satu permainan bola politik. Peristiwa tersebut disifatkan sebagai satu tragedi hitam dalam sejarah negara, melibatkan terkorbannya nyawa warganegara kita terdiri daripada anggota polis dengan orang awam yang menjadi pengikut setia kepada seorang guru,” jelas beliau.

CATEGORIES
TAGS