Malaysia Dateline

Tubuh RCI siasat kes pembunuhan Altantuya

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mencadangkan agar kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes pembunuhan wanita warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, penubuhan RCI sebagai jalan terbaik merungkai kes yang semakin bercelaru selepas perakuan bersumpah dilakukan oleh banduan Azilah Hadri dan sumpah laknat yang menafikan tuduhan tersebut oleh Najib Razak.

“Demi mencari kebenaran dan keadilan semua pihak, saya mencadangkan kepada kerajaan dan restu Yang Di-Pertuan Agong, supaya ditubuhkan segera RCI bagi menyiasat kes pembunuhan Altantuya.

“Penubuhan RCI adalah cara terbaik supaya RCI dapat merungkai semua aspek kes yang pastinya RCI adalah telus dan terbuka.

“Tidak perlu diragui kerana kini timbul banyak persoalan dan tanda tanya mengenai Akuan Bersumpah (SD) Azilah yang dinafikan Najib Razak melalui sumpah laknat,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambahnya lagi, untuk menganggotainya, RCI perlu dilantik dalam kalangan tokoh yang berwibawa, bersih, berilmu, berintegriti, bersifat adil dan tidak memihak kepada sesiapa.

Beliau turut mengkritik pihak-pihak yang mempolitikkan isu sumpah laknat dan mengingatkan agar golongan bukan Islam untuk tidak campur tangan mengenai sumpah laknat dengan bersikap biadab sehingga mempersendakan Islam

“Banyak pihak sudah mempolitikan isu sumpah laknat ini sehingga berjangkit kepada pihak-pihak lain yang patut juga digesa melakukan sumpah laknat.

“Kepada pihak bukan Islam, diminta jangan mempolitikkan dan mencampur adukan ‘sumpah laknat’ yang dilakukan oleh Najib,” katanya.