Malaysia Dateline

Tubuh segera Suruhanjaya Siasatan DiRaja siasat tuduhan salah laku badan kehakiman

Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja dicadangkan ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan-tuduhan salah laku terhadap badan kehakiman sebelum ini sepertimana yang telah didedahkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer berhubung dakwaan campur tangan dalam kes-kes mahkamah.

Pengerusi Ikram Legal Marwan Abdullah berkata, pihaknya bersependapat dengan seruan yang dikemukakan sebelum ini oleh Dr Hamid Sultan dan Majlis Peguam Malaysia agar suruhanjaya itu ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan-tuduhan salah laku terhadap badan kehakiman.

“IKRAM Legal berasa amat terkejut dengan pendedahan yang telah dibuat oleh Yang Arif Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer tersebut melalui afidavit yang merupakan keterangan bersumpahnya di Mahkamah yang tular di media setebal 63 muka surat tersebut.

“Antaranya adalah berkenaan dengan campur tangan dalam kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, kes Karpal Singh untuk tuduhan di bawah Akta Hasutan di Mahkamah Rayuan, kes Indira Ghandi di Mahkamah Rayuan serta salah laku-salah laku oleh seorang yang berpangkat Ketua Hakim Negara yang dinamakan sebagai ‘ARLC’.

“IKRAM Legal menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah merupakan tuduhan yang amat berat dan serius memandangkan ianya melibatkan integriti badan kehakiman negara yang merupakan salah satu cabang daripada pemisahan kuasa dalam negara selain badan eksekutif dan legislatif.

“Dengan berpegang kepada prinsip “seseorang itu adalah tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah”, maka IKRAM Legal melihat bahawa jalan yang paling baik untuk menyiasat tuduhan-tuduhan ini adalah dengan melalui siasatan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja yang bebas,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, Ikram Legal berpendapat tuduhan-tuduhan yang didedahkan oleh Hakim Hamid Sultan ini sekiranya tidak diselesaikan dengan sesegera mungkin, ianya akan meletakkan badan kehakiman negara berada dalam keadaan kewibawaan dan integritinya diragui, sekali gus boleh mengganggu kelancaran perjalanan badan kehakiman dalam melaksanakan tugasnya untuk mendengar dan memutuskan kes-kes perbicaraan di mahkamah yang merupakan tugas hakikinya pada setiap hari.

” Ikram Legal juga ingin memperingatkan para hakim terhadap hadis Rasulullah SAW yang telah direkodkan oleh at-Tirmidzi yang bermaksud:” Hakim itu ada tiga, dua di neraka dan satu di syurga. Seseorang yang menghukumi secara tidak benar padahal dia mengetahui mana yang benar, maka dia di neraka. Seorang hakim yang jahil lalu menghancurkan hak-hak manusia, maka dia di neraka, dan seorang hakim yang menghukumi dengan benar, maka dia masuk syurga.”

“Dengan mengakui bahawa tugas hakim sememangnya adalah merupakan satu tugasan yang berat, Ikram Legal ingin mengingatkan para hakim agar sentiasa komited mengangkat keadilan khususnya dalam era Malaysia Baharu ini memandangkan selain daripada menjadi tempat pergantungan rakyat untuk mendapatkan keadilan di dunia ini, badan kehakiman juga memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan semak dan imbang pentadbiran negara berjalan dengan lancar dan berkesan,” ujar kenyataan itu.

Hakim Hamid Sultan sebelum ini membuat tuduhan bahawa terdapatnya campur tangan dalam kes-kes mahkamah termasuk melibatkan kes peguam terkenal, Karpal Singh yang didakwa atas tuduhan menghasut.

Tuduhan terhadap badan kehakiman negara dinyatakan dalam afidavit sokongan setebal 65 muka surat.

Dakwaan tersebut dibuat oleh Hakim Hamid Sultan dan dinyatakan dalam afidavit yang diikrarkan oleh anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sanggeet Kaur Deo.

Pada 14 Januari lalu, Sangeet yang juga peguam memfailkan saman itu bagi memohon perintah deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman apabila gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang bapanya dan juga kes guru tadika M. Indira Ghandi.

Semalam SUruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah bersemuka dengan Hakim Mahkamah Rayuan itu berhubung dakwaan campur tangan dalam kes-kes mahkamah.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pertemuan itu telah berlangsung di kamar Hakim Hamid Sultan di Istana Kehakiman di sini bagi mendapatkan penjelasan berhubung afidavit yang dikeluarkan oleh beliau pada baru-baru ini.