Pendedahan Muhyiddin tentang akaun  Najib, Amanah gesa tubuh Suruhanjaya Diraja

Pendedahan Muhyiddin tentang akaun Najib, Amanah gesa tubuh Suruhanjaya Diraja

Parti Amanah Negara (Amanah) menuntut satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat secara terperinci pendedahan terbaru bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa  RM42 juta wang SRC International Sdn Bhd telah dimasukkan ke  peribadi Perdana Menteri.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mohamed Hanipa Maidin

Parti Amanah Negara (Amanah) menuntut satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat secara terperinci pendedahan terbaru bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa  RM42 juta wang SRC International Sdn Bhd telah dimasukkan ke  peribadi Perdana Menteri.

Pengerusi Biro Undang-undang (Kanun) Amanah, Mohamed Hanipa Maidin berkata, pendedahan terbaru Muhyiddin mengenai dana SRC International ini menyerlahkan wujud bukti dan keterangan yang kuat untuk mendakwa Perdana Menteri.

“Tiba-tiba sahaja bukan sahaja Perdana Menteri tidak didakwa sebaliknya mantan Peguam Negara ditamatkan perkhidmatannya dan mantan Timbalan Perdana Menteri (Muhyiddin) juga ditamatkan perkhidmatannya dalam masa yang sama?

“Adakah ada campur tangan daripada pihak tertentu sehingga pendakwaan ke atas Perdana Menteri tidak dilakukan,” soal beliau.

Sehubungan itu beliau menyarankan agar Suruhanjaya Diraja yang dianggotai individu yang benar-benar bebas dan berintegriti  segera supaya kebenaran dapat dikenal pasti dan ditegakkan.

Tambah Hanipa, dalam kenyataan media Muhyiddin, beliau mengakui telah diberitahu oleh mantan Peguam Negara, Tan Sri Ghani Patail beserta keterangan bahawa wujud perbuatan jenayah yang telah dilakukan Perdana Menteri mengenai isu pendepositan wang SRC International berjumlah RM42 juta ke akaun peribadi Perdana Menteri.

“Setakat ini mantan Peguam Negara tersebut memilih untuk tidak memberi apa-apa komen terhadap pendedahan terbaru TSM itu.

“Semua tahu bahawa Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah memutuskan untuk tidak mendakwa Perdana Menteri atas apa-apa kesalahan jenayah berhubung isu pendepositan RM2.6 bilion dan RM42 juta (dana) SRC International tersebut meskipun kedua dua jumlah wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

“Mengenai isu RM42 juta (dana) SRC International tersebut, Tan Sri Apandi menggunakan alasan kononnya Perdana Menteri tidak mempunyai pengetahuan tentang kemasukkan wang RM 42 juta itu ke dalam akaun peribadinya, maka ia menjustifikasikan ketiadaan pendakwaan ke atas Perdana Menteri,” jelas Hanipa.

Bagaimanapun, tambah beliau pendedahan terbaru Muhyiddin itu membolehkan pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dengan memanggil Muhyiddin, Abdul Ghani, Apandi dan Perdana Menteri sendiri untuk disoal siasat.

Ini katanya penting bagi memastikan sama ada wujudnya elemen rasuah dalam transaksi itu.

Hanipa bagaimanapun secara realistik mempersoalkan ‘kekuatan’ polis atau SPRM untuk menyiasat sekali lagi Perdana Menteri, mantan Peguam Negara dan Peguam Negara yang sedang berkhidmat.

“Mungkin hanya Tan Seri Muhyiddin yang akan dipanggil untuk siasatan,” kata Ahli Parlimen Sepang itu.

Menurutnya, jika polis dan SPRM mempunyai kekuatan untuk menyoal siasat Apandi dan Najib, kepada siapa hasil siasatan itu akan dirujuk jika bukan kepada Apandi selaku Peguam Negara yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Najib sebagai Perdana Menteri.

“Oleh yang demikian saya percaya perlunya satu badan lain yang benar-benar bebas dan telus iaitu selain polis dan SPRM, yang perlu membuat siasatan pendedahan terbaru Tan Seri Muhyiddin tersebut supaya siasatan dapat dibuat dengan lebih telus, mendalam dan berkesan,” katanya.

TAGS