Malaysia Dateline

Tubuh unit terapi, kaunseling untuk doktor langkah menangani tekanan jiwa

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dinasihatkan menubuhkan unit terapi dan kaunseling bagi pegawai perubatan di semua hospital kerajaan sebagai langkah menangani tekanan jiwa dalam kalangan pegawai perubatan dan mengelakkan berulangnya tragedi kematian doktor pelatih di hospital Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata, langkah KKM untuk menubuhkan pasukan petugas bebas, bagi menyiasat laporan kematian doktor pelatih dan dakwaan budaya buli di fasiliti kerajaan amat doalu-alukan, tetapi apa yang lebih penting adalah KKM haruslah memandang serius terhadap kesihatan mental di kalangan pegawai perubatan di hospital kerajaan.

“Pendedahan oleh para doktor pelatih di media sosial tentang beban kerja dan tekanan jiwa yang dihadapi oleh mereka semasa menjalani “housemanship” menunjukkan agak ramai di kalangan mereka mengalami tekanan jiwa dan malah kemurungan (depression).

“Pada masa yang sama, tingkah laku agresif atau sikap buli oleh sesetengah pegawai perubatan yang senior terhadap doktor pelatih di hospital juga menunjukkan golongan doktor senior ini mempunyai masalah sikap dan memerlukan bimbingan psikologi,” katanya.

Tubuh unit terapi, kaunseling doktor langkah menangani tekanan jiwa
Teresa Kok

Justeru beliau mencadangkan KKM menubuhkan unit terapi dan kaunseling di semua hospital kerajaan untuk membantu pegawai perubatan yang menghadapi kerja berlebihan, tekanan jiwa dan masalah emosi.

“Penubuhan unit ini adalah sejajar dengan kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang menyatakan KKM memandang serius tentang kepentingan kesihatan mental di masyarakat kita.

“Selain itu, ia juga seiring dengan Pelan Strategik Kesihatan Mental Kebangsaan 2020-2025 yang dilancarkan oleh KKM,” katanya lagi.

Kematian doktor pelatih yang disyaki terjun dari bangunan hospital kerajaan Pulau Pinang pada 17 April telah menarik banyak perhatian tentang budaya kerja dan masalah tekanan jiwa di kalangan pegawai perubatan.

Doktor pelatih tersebut disyaki membunuh diri selepas menjalani “housemanship” selama 3 minggu kerana beliau disyaki tidak tahan tekanan dan sikap buli oleh sesetengah doktor senior di hospital berkenaan.

Mengikut jurucakap Gerakan Hartal Kontrak yang juga seorang doktor, perbuatan buli di hospital awam bukanlah perkara baharu, malah kerap menjadi perbualan dalam kalangan doktor kontrak dan doktor pelatih.

Keadaan ini bukan sahaja berlaku di hospital Pulau Pinang tetapi juga di hospital kerajaan yang lain.

Baca juga: Pembulian terhadap doktor pelatih harus dibuat penilaian