Malaysia Dateline

Tubuhkan jawatankuasa Parlimen siasat Azam Baki, bersihkan imej negara

Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari menggesa Jawatankuasa Khas Parlimen ditubuhkan bagi menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Adly berkata, langkah itu penting bagi mengelak nama baik negara tercemar susulan pengakuan Azam berkenaan adiknya, Nasir menggunakan namanya dalam pemilikan saham.

Beliau yang juga Adun Bukit Katil menegaskan alasan Azam itu lebih mencalarkan lagi imej negara yang sudah sedia tercalar dengan amalan rasuah.

“Ditambah dengan kenyataan beliau bahawa beliau hanya bertanggungjawab memberi penjelasan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

“Mengikut terma rujukan penubuhan LPPR, fungsi menentukan amalan rasuah berlaku atau tidak dalam SPRM bukanlah dalam fungsi LPPR itu diwujudkan, lebih lagi ianya melibatkan Ketua Pesuruhjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu,Azam Baki berkata, adiknya menggunakan akaun sahamnya untuk membuat urus niaga melalui pasaran terbuka.

Namun, jelasnya, saham-saham tersebut kemudiannya telah pun dipindahkan kepada akaun milik Nasir.

Mengulas lanjut, Adly yang juga bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, SPRM tidak boleh membersihkan imej apabila terkait dengan sesuatu isu rasuah.

“Wajarlah jawatankuasa khas dibawah parlimen menyiasat perkara tersebut dan mencadangkan tindakan sewajarnya untuk membersihkan imej SPRM, namun yang paling penting adalah imej negara.

“Dengan kaedah itu, Tan Sri Azam Baki boleh diberi peluang membersihkan namanya dengan cara yang berintergriti,” katanya lagi.