Malaysia Dateline

Lim Kit Siang

Tubuhkan RCI siasat tuntutan salah laku kehakiman, kata Lim Kit Siang

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menjalankan siasatan berhubung tuduhan rasuah dan tuntutan salah laku kehakiman harus diwujudkan, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Lim yang juga Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu berkata dakwaan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dalam afidavit adalah serius kerana tuduhan itu turut melibatkan campur tangan badan kehakiman dalam kes mahkamah.

“Ada satu (campur tangan kehakiman) dalam kes (mendiang) Karpal Singh (bekas Anggota Parlimen Bukit Gelugor dan Pengerusi DAP Kebangsaan) dalam kes hasutan dan juga satu kes membabitkan Anwar (Presiden PKR dan Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Jadi, saya fikir ia adalah serius dan wajar bagi penubuhan RCI,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina DAP Sandakan di sini.

Pada Rabu (14 Feb), Hamid Sultan mengemukakan afidavit setebal 63 halaman yang mendedahkan butiran maklumat berhubung campur tangan kehakiman dalam Kehakiman Malaysia termasuk dakwaan campur tangan kehakiman terhadap bekas anggota Parlimen Bukit Gelugor, yang juga Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh atas keputusan rayuan kes hasutan di Mahkamah Rayuan.

Kelmarin, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji sebarang cadangan untuk menubuhkan RCI terhadap tuntutan salah laku kehakiman.

— BERNAMA