
TUDM akan tubuh Lembaga Penyiasatan kenal pasti punca kemalangan trak
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menubuhkan Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca insiden kemalangan kenderaan tiga ton milik mereka.Markas TUDM dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, 25 Pegawai Kadet Palapes Udara dan tiga jurulatih yang cedera dalam insiden itu telah dibenarkan keluar dari Hospital Banting dan Hospital Klang pada awal pagi ini.
“Sementara itu, seorang Pegawai Kadet masih lagi meneruskan rawatan di Hospital Klang dan tiga di Hospital Banting.
“TUDM sentiasa memantau keperluan kebajikan mangsa yang masih menerima rawatan di hospital termasuk menyediakan penginapan untuk waris yang memerlukannya di Rejimen TUDM, Bukit Jugra.
“Seluruh warga TUDM bersimpati atas kejadian yang berlaku dan mendoakan mangsa yang cedera kembali pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Memetik laporan Malaysia Gazette semalam, Markas Tentera Udara mengesahkan berlaku insiden kemalangan melibatkan sebuah trak tiga ton miliknya yang telah hilang kawalan di Hutan Bukit Jugra kira-kira jam 3.30 petang.
Ia hilang kawalan kerana kegagalan fungsi brek semasa menuruni Bukit Jugra selepas selesai menghantar barang-barang, kata satu kenyataan Tentera Udara Malaysia (TUDM).