Malaysia Dateline

Tuduh Ahli Parlimen AMANAH sertai Bersatu petanda PN lemah

Susulan kenyataan dari sebuah portal yang mendakwa tiga Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (AMANAH) akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat sebagai petanda Perikatan Nasional (PN) dalam keadaan yang lemah.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Presiden Parti AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub telah mengeluarkan penafian berkenaan perkara tersebut.

Dalam kenyataan media itu, beliau turut menyatakan bahawa pihak PN sangat tertekan dengan perkembangan terkini politik tanah air sehingga terdesak menyebarkan berita palsu.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan laporan palsu tersebut.

“Laporan yang merupakan fitnah murahan itu tidak akan sedikit pun menjejaskan usaha dan komitmen PH untuk mengembalikan mandat rakyat dan menyelamatkan negara dari bencana politik PN.

“Saya mengharapkan rakyat Malaysia dapat bersama PH mendukung dan meneruskan cita-cita membentuk Malaysia Baharu yang bebas rasuah dan penyelewengan serta menegakkan amalan politik yang telus, benar dan tidak berteraskan fitnah dan kepalsuan,” jelasnya.

Tiga nama yang disebut oleh portal berkenaan adalah, Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus, Ahli Parlimen Tampin, Dr Hasan Baharom dan Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub.

Dalam pada itu Pengarah Komunikasi Parti AMANAH Negeri Johor, Noor Khalim Sakib menambah taktik yang digunakan ini adalah untuk memberi keyakinan kepada ahli Bersatu sahaja.

Katanya, PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin pastinya mahukan sesuatu yang sensasi bagi membuktikan apa yang selama ini dilakukan olehnya dilihat sebagai berada di landasan yang terbaik.

“Ini petanda PN gelabah dengan menyebarkan perkara yang tidak benar sebegini. Mereka (PN) takut untuk berhadapan dengan realiti selepas semalam Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh meletakkan jawatan.

“Peletakkan jawatan itu adalah satu tamparan yang hebat di mana sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin dalam PN hari ini dilhat goyah.

“Tindakan menuduh tiga Ahli Parlimen AMANAH yang akan menyertai Bersatu ini adalah langkah menutup pemerhatian umum terhadap isu kelemahan PN hari ini.

“Ternyata jelas, kenyataan palsu ini boleh dikatakan sebagai cerminan bahawa PN dalam keadaan terdesak dan lemah,” katanya.