Tuduh Anwar ejen Israel, Bukit Aman buka kertas siasatan terhadap Hadi

Oleh KIM SYAZIE

Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas beliau menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Kes itu dilaporkan akan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung perkara itu.

“Kes ini dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Menurut Noorsiah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

“Malah kes turut disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menghantar mesej dan gambar berunsur fitnah melalui akaun facebooknya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya,” katanya.

Terdahulu tular satu hantaran di laman Facebook Perikatan For Malaysia yang mengatakan Anwar mendapat pertolongan untuk dilantik sebagai perdana menteri dan menjadi ejen kepada Israel.