Malaysia Dateline

Tuduh PH Melaka jual aset bumiputera jelas berniat jahat

Bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari menyifatkan tuduhan mengatakan Kerajaan Pakatan Harapan Melaka menjual aset bumiputera bagi perbelanjaan bolasepak adalah suatu fitnah yang tidak berasas dan jelas berniat jahat.

Pengerusi Pakatan Harapan Melaka itu juga berkata, hartanah bumiputera di Melaka yang tidak terjual dianggarkan sekitar RM800 juta.

Daripada itu katanya, pada zaman BN, hartanah bumiputera yang hendak dilepaskan atau dijual kepada bukan bumiputera dikenakan levi sebanyak 6% yang akan dimasukkan sebagai hasil kerajaan negeri untuk dibelanjakan.

Namun, katanya selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, levi pelepasan aset bumiputera dinaikkan pada kadar 10% hingga 20% bagi aset komersial.

“Untuk memastikan bumiputera mendapat manfaat dari aset yang tidak terjual, maka kerajaan PH telah menubuhkan Danaharta Bumiputera dan levi yang dipungut disalurkan ke dalam Danaharta Bumiputera,” katanya.

Beliau menambah, jumlah levi terkumpul dalam tempoh PH memerintah adalah RM19 juta disamping RM33 juta telah diluluskan.

Tegasnya, Kerajaan PH juga komited menggunakan Levi ini hanya bagi dua tujuan sahaja iaitu bantuan perumahan kepada kumpulan B40 dan M40 dan bantuan Mikro Kredit kepada usahawan Bumiputera.

Sebagai makluman, agihan Danaharta Bumiputera disalurkan melalui Amanah Finance House atau kini dijenamakan sebagai Melaka Finance House.

Justeru beliau berharap Danaharta Bumiputera yang ditinggalkan PH sebanyak RM33 juta dapat diteruskan oleh Kerajaan Negeri Melaka kini.