Malaysia Dateline

Tuduh pihak lain rampas kuasa tapi kerajaan sendiri didukung majoriti lemah

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang dilihat masih mahu menegakkan benang basah.

Menurutnya, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang dipecat pada Januari lalu itu berada dalam sindrom penafian.

“Ini yang dikatakan ‘denial syndrom’. Mahu menegakkan benang basah. Menuduh orang lain mahu merampas kuasa tetapi kerajaan sendiri didukung oleh majoriti lemah.

“Kenapa tidak berani mengabsahkan legitimasi kerajaan PN melalui Parlimen? Kenapa mandulkan Parlimen dengan sesi taklimat? Sidang hari akhir (esok) dibatalkan. Takut ke?” bidasnya.

Puad berkata demikian mengulas satu artikel ‘ribut tidak menjadi, nyior condong tegak kembali’ yang didakwa dihantar Annuar menerusi aplikasi WhatsApp kepada semua Ketua Bahagian Umno.

Mengulas lanjut, Puad menggelar tulisan yang berselindung atas nama “Ahli Parlimen BN” itu sebagai “artikel dukungan Annuar” (ADA).

Beliau juga mempersoal dakwaan ADA berkenaan nawaitu yang terselongkar.

“Itukah sebab nyiur yang condong tegak balik? Dan kera tidak boleh meniti lagi? Memang PM tidak boleh meniti lagi. Rakyat hilang kepercayaan. Dia mesti letak jawatan.

“Dakwa ADA (Annuar Musa), nawaitu mereka terselongkar. Mereka bukan minat berbahas dan kemuka cadangan.

“Nawaitu siapa terselongkar? Najib gagal berucap pada hari Khamis. Tiga kali ditangguh. Akhirnya, sesi petang batal dan esok juga batal.

“Nawaitu kerajaan PN yang terselongkar. Sebab itu, sidang Parlimen hanya sesi taklimat dan empat hari sahaja. Hari pertama lagi sudah “mengelirukan Dewan Rakyat”.

“Memang pokok nyiur bertambah condong kerana negara dilanda krisis Perlembagaan. Ia tidak akan tegak balik jika PM tidak letak jawatan,” kata Puad lagi.