Malaysia Dateline

Tuduhan cabul isteri orang: Bekas ADUN dakwa rakan ada hutang RM200,000

Seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu mendakwa laporan polis yang dibuat rakan beliau berhubung kes cabul isterinya pada 16 Mac lalu hanya rekaan semata-mata.

Bekas ADUN Air Putih, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, 51, berkata, laporan dibuat pasangan suami isteri yang tinggal di Taman Melawati, Ampang itu bertujuan menjatuhkan reputasi serta mengaibkan dirinya.

Bekas Naib Ketua Umno Kemaman berkenaan berkata, beliau dan isteri tidak pernah bermalam di rumah pasangan terbabit kerana mempunyai kediaman di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, jelas bekas setiausaha politik mantan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said itu, beliau sudah menjangkakan hal tersebut akan berlaku susulan ugutan awal yang diterimanya daripada rakan baiknya itu pada Ahad lalu.

Mendedahkan kepada media, Wan Ahmad Nizam mendakwa rakannya itu mempunyai hutang berjumlah RM200,000 dengannya, namun akibat gagal melunaskannya, persahabatan mereka menjadi renggang sejak September tahun lalu.

“Ahad lalu kira-kira 4 petang, dia bersama isteri datang ke rumah saya di Geliga, dan katanya untuk berbincang tentang hutang.

“Tetapi tiba-tiba saya ditumbuk sebanyak dua kali disamping kepala serta badan dibaling dengan pasu bunga secara bertubi-tubi hingga saya tidak boleh bangun, sebelum dia berlalu pergi.

“Saya maklumkan padanya akan melaporkan kejadian itu kepada polis dan dia mengugut saya agar tidak berbuat demikian atau dia akan membuat sesuatu yang boleh memalukan saya.

“Tiba-tiba keluar cerita saya mencabul isterinya,” jelasnya.

Sehubungan itu, Wan Ahmad Nizam membuat laporan di Balai Polis Chukai sebelum rakannya itu berjaya ditahan polis di Ampang, Selangor pada 19 Mac lalu.

Rakannya itu bagaimanapun dibenar diikat jamin. Ketua Polis Terengganu, Roslee Chik, mengesahkan laporan kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Wan Ahmad Nizam menjelaskan bahawa beliau menyerahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung dakwaan cabul itu.