Malaysia Dateline

Tuduhan gangguan seksual babit Speaker Melaka disiasat

Polis hari ini mengesahkan sedang menyiasat penyebaran berita membabitkan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang dituduh melakukan gangguan seksual.

Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, lapor Malaysiakini.

“Siasatan dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid.

Untuk rekod, Seksyen 500 Kanun Keseksaan adalah berkaitan fitnah terhadap seseorang.

Sementara itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkenaan seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Tersebar di media sosial tuduhan yang mendakwa Ab Rauf juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri cuba merogol seorang kakitangan wanita di sebuah hotel di Ayer Keroh pada 2 Oktober lalu.

Walau bagaimanapun, wanita terbabit dikatakan membuat laporan polis pagi tadi menafikan berita yang tersebar mengaitkan dirinya dengan Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah itu.

“Saya tidak tahu apa tentang statement yang diviralkan. Tujuan saya membuat report ini adalah untuk keselamatan diri saya dan keluarga dan rujuk pihak SKMM,” dipetik dari laporan polis yang tersebar di media sosial.