Malaysia Dateline

Tuduhan jahat, Teo Nie Ching ambil tindakan undang-undang

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan jahat bahawa beliau telah mengeluarkan arahan untuk menukar kandungan buku teks Sejarah Tingkatan 4.

Dalam satu kenyataan Teo Nie Ching berkata, dalam FB live yang dihoskan oleh Pemuda umno malam tadi, Timbalan Pengerusi Sekretariat Ngo Tolak BST4 Datuk Yazid Othman telah membuat tuduhan jahat terhadapnya.

“Sepanjang berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia, saya dan pegawai-pegawai di pejabat Timbalan Menteri Pendidikan tidak pernah terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penyediaan draft dan kerja percetakan buku-buku teks, apatah lagi arah untuk mengubah kandungan buku sejarah.

“Ternyata sumber yang dinyatakan oleh Datuk Yazid sendiri mendatangkan keraguan melampau.

“Kesemua tuduhan Datuk Yazid Othman adalah tidak berasas, berniat jahat dan tidak munasabah,” kata beliau.

Beliau akan akan berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan reputasi dan kredibilitinya semasa menjalankan tugas sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

“Mantan Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee sendiri telah menjelaskan tentang proses bagaimana buku teks tersebut disediakan. Mustahil terdapat campurtangan saya dalam perkara tersebut,” katanya.

Isu mengenai Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 dimulakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang turut menuduh Pakatan Harapan memanipulasi fakta sejarah dengan mengagungkan pengkhianat komunis sebagai pejuang kemerdekaan semasa pentadbiran PH selama 22 bulan.

Dr Maszlee Malik akan memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Pemuda Umno itu dengan mengarahkan peguamnya untuk menghantar surat tuntutan kepada Asyraf atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga menuntut Asyraf membuat permohonan maaf secara terbuka.