Tuduhan Khairuddin tidak berasas, berniat jahat, kata Fahmi

Tuduhan Khairuddin tidak berasas, berniat jahat, kata Fahmi
Fahmi Fadzil

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berniat jahat dan membuat tuduhan tidak berasas terhadap ketidak hadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat presiden komponen Pakatan Harapan (PH) bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

“Keadilan berpandangan tuduhan yang dilempar DS Khairuddin bahawa DS Anwar tidak menghormati konsensus Pakatan Harapan adalah tidak berasas dan berniat jahat,” ujarnya Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jemputan oleh Perdana Menteri semalam adalah khusus kepada pimpinan PH yang mula-mula terlibat dalam pembentukan kabinet PH pada Mei tahun lepas.

Khairuddin Abu Hassan

Datuk Khairuddin Abu Hassan

Katanya pertemuan tersebut adalah untuk mendapatkan pandangan dan maklumbalas mengenai hal ehwal perjalanan kerajaan yang menyentuh perkara-perkara portfolio dan kementerian-kementerian.

“Ini bermaksud Keadilan diwakili Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang pada ketika pembentukan kerajaan pasca PRU14 merupakan Presiden PKR,” ujarnya.

Semalam Penyelaras Parlimen Jasin itu dalam tulisan dimuat naik di laman facebooknya mempersoalkan motif mengapa Anwar tidak hadir dalam mesyuarat yang dipengerusikan Dr Mahathir.

Sebaliknya Anwar dakwanya lebih mementingkan mesyuarat biro politik PKR yang berlansung petang semalam.

“Walaupun kita dikatakan bakal mengambil-alih kepimpinan nombor satu negara tetapi perkara itu belum terjadi lagi!! Sepatutnya hormatilah jemputan mesyuarat oleh perdana menteri!!

“Masakini, semua pihak masih di bawah kepimpinan ‘sitting’ perdana menteri dan harus hormati perdana menteri masakini!!

“Sekiranya nak jadi tokoh pemimpin; kita kena pandai bagi ‘priority’ dalam hal-ehwal pentadbiran PH!! Kalau ini pun tak tahu nak menilai macamana hendak jadi pemimpin yang baik!!

“Apapun saya hanya nak lihat gelagat seseorang itu dan kuncu-kuncu mereka!! Setakat mana dan sejauh mana nak tunjuk sifat ‘ego’ mereka!!

“Jangan terlalu cepat ‘syok’ sendiri yang kemungkinannya boleh membawa rebah buat selamanya,” ujar Khairuddin seperti dipetik.