Malaysia Dateline

Tuduhan komunis terlalu umum, kenapa tak kemuka nama dan bukti?

Tuduhan rambang yang mengaitkan parti politik di dalam Pakatan Harapan dengan parti komunis tidak seharusnya dimainkan apatah lagi jika tiada fakta jelas untuk menyokong dakwaan itu.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Raja Kamarul Bahrin Shah menegaskan, sehingga kini tiada mana-mana pihak yang berani mengemukakan bukti mengatakan gabungan parti di dalam PH mempunyai kaitan dengan parti komunis.

Apabila tiada nama yang dituduh, sukar untuk mana-mana pihak terutama PH mempertahankan diri untuk menjawab dakwaan tersebut sekaligus sukar untuk membersihkan nama dari tuduhan itu.

Ketika menjelang hari pengundian PRU15, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan PH dengan fahaman komunis serta antituhan.

Hadi dilaporkan mendakwa PH dan Barisan Nasional (BN) sebagai gabungan yang mempunyai pelbagai masalah, termasuk rasuah yang tidak terkawal, dan hanya Perikatan Nasional (PN) yang boleh mentadbir Malaysia dengan baik.

Mengulas perkara itu, Kamarul tidak menolak kemungkinan bahawa persepsi yang dimainkan itu telah memberi kesan terhadap kerusi-kerusi yang ditandingi PH apabila pihak lawan menguasai media sosial bukan untuk menyebarkan fakta, tetapi sebaliknya mahu membangkitkan kemarahan dalam hati pengundi.

“Satu contohnya adalah tuduhan komunis. Bila mereka kata pihak Pakatan Harapan dipenuhi oleh golongan komunis, itu satu kenyataan terlalu general, tak spesifik. Tak sebut siapa yang komunisnya.

“Tidak disebut namanya tapi tuduhan umum. Dan fitnah ini tidak sepatutnya dilakukan kerana tuduhan yang berat seperti ini mesti ada fakta-fakta yang lebih jelas, supaya boleh membawa kepada siasatan

“Kenapa tuduhan yang umum baru nak dilontarkan? Ini tidak memberi peluang kepada mana-mana pihak membela diri.

“Macam mana orang tertentu nak pertahankan diri kerana tidak ada sesiapa pun yang dituduh,” katanya memetik Harapan Daily.

Temubual bersama Raja Kamarul

Pengerusi PH Terengganu itu turut menyentuh kes pada tahun 2016 membabitkan seorang pelajar universiti awam yang ditahan kerana terlibat dengan kegiatan kumpulan pengganas, ISIS.

Kata Kamarul, negara sudah menyaksikan beberapa kes terdahulu di mana kesalahan-kesalahan besar memberi ancaman kepada negara boleh didakwa di bawah peruntukan sedia ada.

Bahkan jika kes sebesar ISIS boleh dibawa ke mahkamah, beliau mempersoal mengapa tuduhan seserius komunis ini tidak segera dikemukakan nama dan bukti kerana kelompok ini sejak sebelum merdeka lagi adalah musuh negara.

“Kalau tuduhan serius seperti ISIS ini boleh dibawa ke mahkamah, kenapa tidak tuduhan seserius komunisme yang lebih lama lagi wujud, dibawa ke mahkamah? Kalau betul perkara ini wujud, kenapa dekat pilihan raya baru nak ditimbulkan.

“Kita mengalu-alukan (pembuktian) kerana komunis ini satu kesalahan dan merupakan musuh negara sejak merdeka lagi. Itulah maksud saya apabila mengatakan mereka hanya mencetuskan kebencian, kemarahan tanpa tuduhan spesifik,” ujarnya lagi.

Pada 8 November 2022, Hadi dalam ceramah di Temerlong Pahang mengeluarkan kenyataan berbunyi: “Dalam PH ini macam-macam jenis ada. Yang komunis ada. Yang antituhan pun ada. Yang liberal pun ada. LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) pun ada. Yang bagi rasuah pun ada. Yang terima rasuah pun ada,” kata Hadi.

Hadi juga sebelum ini pernah melabel PH sebagai kumpulan yang tidak beriman dan tak bermoral.

Kenyataan beliau kemudian diserang hebat kerana ia bukan lagi berbaur politik, sebaliknya cuba menyentuh akidah orang lain.

PRU15 mencatat sejarah apabila merekodkan seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, yang teramai dalam sejarah PRU negara