Malaysia Dateline

Tuduhan pengganas kepada Dr Zakir Naik perlu bukti, k’jaan Modi punyai agenda

Dr Zakir Naik

Tuduhan pengganas kepada pendakwa terkemuka, Dr Zakir Naik (foto) perlu dibuktikan dan tidak harus semata-mata bersandarkan laporan kerajaan India serta media dan tulisan media sosial masyarakat di India, kata Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad.

Menurut beliau daripada ceramah Dr Zakir Naik yang mudah diikuti di internet, tidak ada walaupun satu ucapan pendakwah itu yang boleh disifatkan menyokong keganasan.
“Walaupun kata-katanya bersifat ‘terus terang’ tanpa berlapik dan boleh menyakiti hati sebahagian pendengarnya, khususnya orang bukan Islam, namun tiada kata-kata yang menyokong keganasan,” ujar beliau.

Khalid menambah, walaupun ada yang tidak senang dengan pendekatan berterus terang dan tanpa berlapik Dr Zakir Naik, ianya bukan alasan untuk mendakwa beliau menyokong keganasan.

Menurut beliau, tuduhan ‘pengganas’ sering digunakan terhadap orang Islam sebagai alasan untuk dikenakan tindakan.

Malah katanya, keseluruhan rakyat Palestine dituduh ‘pengganas’ walaupun masyarakat dunia mengetahui mereka adalah mangsa keganasan Yahudi Zionis.

“Begitu juga dengan masyarakat Rohingya. Mereka juga turut dituduh ‘pengganas’ sambil mereka disembelih golongan pelampau Myanmar,” ujarnya dalam tulisan di mingguan Amanah bil. 78.

Khalid berkata, hujah mengaitkan Dr Zakir Naik dengan kejadian keganasan di Bombay semata-mata kerana salah seorang yang didakwa pengganas ialah ‘peminat’ Zakir Naik bukanlah bukti kukuh pendakwah itu menyokong keganasan.

“Mereka yang ditahan ini mungkin juga peminat Star Wars dan WWE! Adakah dengan itu pengarah filem Star Wars dan pengurusan WWE juga patut dituduh menyokong pengganas?” ujarnya.

Hakikatnya, tambah beliau, dari jutaan penonton video-video Zakir Naik termasuk di Malaysia, hanya segelintir sahaja yang terlibat dalam kegiatan keganasan.

“Sekiranya Dr Zakir Naik sememangnya menganjur keganasan, tidakkah sepatutnya paling kurang 20% ke 30% pendengar dan peminatnya turut terlibat dalam kegiatan keganasan?” soal beliau.

perasaan sangsi

Khalid Samad03
Khalid Samad

Khalid turut mengingatkan pihak yang menuntut tindakan terhadap Dr Zakir Naik memahami bahawa kerajaan India pimpinan Modi turut disangsi masyarakat Melayu Islam di Malaysia.

“Modi dilihat sebagai seorang yang telah memenangi pilihan raya India atas semangat ‘nasionalis Hindu’ dan oleh itu dakwaan kerajaan Modi terhadap Dr Zakir Naik dianggap mempunyai agenda politik.

“Ianya dilihat sebagai tindakan yang bertujuan mengukuhkan sokongan terhadap Modi atas semangat ‘nasionalis Hindu’ apabila seorang pendakwah Muslim yang terkenal dengan usaha membuktikan kebenaran Islam ke atas agama lain, termasuk agama Hindu, melalui teguran pedas dan kurang berdiplomasi berjaya ditahan oleh kerajaan Modi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mahu tindakan terhadap Dr Zakir Naik diambil hanya setelah terbukti pendakwah itu terlibat menganjurkan keganasan.

“Kalau tidak maka ianya akan dilihat sebagai tindakan yang bertujuan untuk memenangkan ‘Hindu ke atas Muslim’ dan ini sudah pasti akan menimbulkan bantahan dari masyarakat Melayu Islam,” tegas ahli parlimen Shah Alam itu.

Menurut Khalid, majoriti masyarakat Melayu-Islam di Malaysia sememangnya menolak tindakan pengganas.

“Secara umumnya umat Islam Malaysia tidak setuju dengan pendekatan pengganas dan menganggapnya sebagai sesuatu yang merosakkan imej Islam. Oleh itu kalau ada pengganas yang dikenakan tindakan, tiada yang akan membantah.

“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak mahukan persetujuan masyarakat Melayu Islam yang membentuk majoriti di negara ini supaya Dr Zakir Naik dikenakan tindakan dan dihalang masuk Malaysia, mereka mesti membuktikan keterlibatan Dr Zakir Naik dalam menyokong atau mendorong keganasan terlebih dahulu.

“Setakat ini bukti dan hujah yang dikemukakan jauh dari meyakinkan,” tegas beliau.