Malaysia Dateline

Tuduhan Raja Petra tidak berasas, cuba heret pihak istana

Pada era siber dan sosial media hari ini ada pelbagai kategori penulis. Ada penulis berani menulis tetapi tidak berani menanggung akibat fitnahnya dan hanya melontar tomahan dari jauh sahaja.

Termasuk dalam golongan ini adalah Raja Petra Kamaruddin yang memegang kewarganegaraan British di bawah perlindungan kerajaan Britain. Beliau mempunyai “lesen besar” memfitnah dan menghasut dari jauh kerana dilindungi oleh undang-undang Britain yang liberal.

Saya agak hairan tohmahan-tohmahan yang dilontar kepada saya melalui penulisannya semalam.

Raja Petra menyerang saya kerana menyoal apakah kelebihan orang luar tanpa tambah nilai, termasuk adiknya Raja Idris, mengambil pekerjaan tempat anak Terengganu semasa peluang perkerjaan sangat terhad.

Raja Petra yang begitu lama bermaustautin di England tidak memahami keadaan sebenarnya di Terengganu. Tiada salah saya membela anak tempatan Terengganu termasuk juga ahli Pas yang sewajarnya diberi keutamaan.

Serangan tuduhan Raja Petra tidak berasas kerana dalam penulisan saya, saya tidak menyalahkan tiga projek berjumlah kos RM1 bilion yang tersebut tetapi menyoal kenapa ia tidak di siapkan sehingga hari ini dan punca masalah pun tidak di atasi. Itu adalah pembaziran.

Saya hanya menyebut projek Stadium, Taman Ilmu dan Kompleks Bebas Cukai dan tidak menyebut langsung projek Istana yang Raja Petra timbulkan dan di kaitkan dengan saya.

Itu adalah usaha Raja Petra untuk memburukkan hubungan saya dengan istana dan juga pertalian dalam keluarga saya. Kalau benar anak jantan beliau patut berhujah sendiri dan bukan cuba mengheret pihak istana dalam arena politik untuk membantu asakan beliau terhadap saya.

Orang luar 

Kalau beliau berani, beliau patut kembalilah ke Malaysia untuk membela rakyat di sini dan jangan bersembunyi sebagai warga British di belakang perlindungan Ratu-Queen Elizabeth.

Ianya kelihatan tiada komitmen membela rakyat tetapi hanya membaling tomahan dari jauh takut turun ke lapangan gelangang perjuangan sebenarnya.

Tidak wajar juga Raja Petra menyebut ahli keluarga di Raja Terengganu seorang rakyat Singapura. Ianya tidak relevan dalam isu berkenaan.

Apa yang YB Mohd Said dan saya timbulkan adalah ketidakwajaran mengambil orang luar Terengganu berkerja semasa rakyat negeri sendiri tidak ada pekerjaan melainkan kalau yang di ambil mempunyai kepakaran istimewa.

Mungkin kerana terlalu lama di England Raja Petra tidak faham peribahasa Melayu – kera di rimba disusukan, anak di pangkuan mati kebuluran.

Tetapi ungkapan Inggeris pun ada yang menyatakan-, “charity begins at home”, atau kebajikan patut bermula di tempat sendiri. Ia bukan hanya semata mata isu kerakyatan atau keturunan tetapi keutamaan kepada yang lebih terdesak memerlukan pembelaan.

Pendekatan beliau ada persamaan konsep digunakan Pas dahulu di mana hubungan kekeluargaan menjadi rosak atas agenda politik parti di mana ahli Pas dan Umno di dalam satu keluarga menjadi porak peranda dan ada yang memutuskan sillatulrahim kerana agama dipergunakan untuk kepentingan politik.

Raja Petra sanggup menanam racun dikalangan keluarga saya demi untuk mencapai agenda politiknya demi sokongannya pada Pas.

Begitu lah cara penyokong sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam sanggup membuat apa saja untuk mencapai matlamat mereka.

Sebagai seorang “gentleman British” dan anak jantan, Raja Petra tidak patut mengheret Istana kedalam isu politik yang sedang hangat di persoalkan rakyat Terengganu di waktu perkerjaan anak tempatan adalah masalah utama.

Berhujahlah atas keupayaan sendiri dangan tidak perlu mengheret pihak lain ke dalam isu pribadi sendiri. “Fight your own battle !”

Raja Petra patut berhujah dengan fakta yang rasional memberi justifikasi perlantikan adiknya dan bukan cuba membawa istana dan mengungkit status keluarga beliau sebagai kerabat dari Selangor ke dalam isu yang tidak ada kaitan dengannya.

Cubaan untuk melibatkan isu Istana untuk membantu dirinya dalam isu peluang perkerjaan anak tempatan yang di bangkitkan oleh saya sebagai Senator dan YB Dato Ahmad Said di Dewan Undangan Negeri adalah politik murahan tanpa hujah sepatutnya.

Jika Raja Petra ingin mempunyai kredibiliti, pulanglah ke Malaysia seperti pejuang rakyat bertanggung jawab lain dan bukan mencari perlindungan di bawah Kerajaan British melontar tuduhan tidak berasas berbelas ribu kilometer jauhnya dari Malaysia.

Ini bukan lagi zaman British Commonwealth dahulu di mana rakyat Malaya mesti akur menerima pandangan serta perintah dari negara Britain. Hadirkan diri di lapangan medan rakyat Malaysia sebenarnya di sini dan berhujahlah secara bertanggung jawab.

Adakah Raja Petra takut untuk “berumah di tepi pantai kerana takut di lambung ombak” ?