Malaysia Dateline

Tuduhan rasuah: Dua Setiausaha Politik bekas Menteri AMANAH buat laporan polis

Azli (tengah) dan Sabki (kiri) di perkarangan IPD Shah Alam hari ini.

Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, Azli Yusof dan bekas Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub, Sabki Yusof memfailkan dua laporan polis terhadap tiga pengguna Facebook.

Azli yang juga Ketua AMANAH Shah Alam dan Sabki berkata, mereka bertiga iaitu Kassim Salamat, Mahyuddinrahmat Din dan Jafri Kamarudin Eri dengan sengaja menghantar dan memaparkan poster mengandungi gambar mereka berdua atas tujuan mencipta persepsi jahat mengaitkan mereka atas tuduhan rasuah.

Laporan polis tersebut dikemukakan di IPD Shah Alam hari ini dengan memohon identiti mereka terbabit dikenal pasti dan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.

Azli menegaskan, tindakan ketiga-tiga pengguna Facebook itu mengaitkannya dengan tuduhan rasuah dan penipuan dengan jumlah kerugian sebanyak RM1juta tidak boleh diterima sama sekali kerana beliau tidak pernah pun ditahan oleh SPRM apatah lagi disabitkan dengan kesalahan rasuah.

“Sedangkan saya hanya dipanggil oleh Pegawai Penyiasat (IO) Jenayah Komersil PDRM untuk membantu siasatan mereka terhadap agen hartanah yang memalsukan dokumen, menyamar dan mengunakan nama saya sebagai Setiausaha Politik untuk mempengaruhi sebuah firma arkitek.

“Saya tidak pernah dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM dan tiada pertuduhan kes di mahkamah,” tegas Setiausaha Politik bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi.

Kelmarin, sepasang suami isteri bergelar Datuk dan Datin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menggunakan dua dokumen palsu berhubung cadangan pembangunan pangsapuri.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mokhtar Haron, 66, dan Noorizan Abd Shukor, 43,
didakwa bersama-sama dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen, iaitu surat ‘Permohonan Cadangan Pembangunan Menara Pangsapuri 40 Tingkat (252 unit)’ bertarikh 24 Okt 2019 dan ‘Cadangan Cantuman Lot (7 kepada lot) untuk Pembangunan Pangsapuri’ bertarikh 29 Okt tahun lepas, di mana kedua-dua tertuduh mengetahui dokumen itu suatu dokumen palsu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di TPC Kuala Lumpur Golf & Country Club di sini pada 30 Okt 2019, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Walau bagaimanapunm kedua-dua tertuduh masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan, di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis Ayer Keroh di Melaka memandangkan mereka tinggal di Melaka.

Hakim Izralizam menetapkan 2 Disember untuk sebutan semula kes.